Bagaimana Empayar Uthmaniah Turki Dirobek Penjajah?


Lagi 7 tahun (2024), maka genaplah satu abad umat Islam hidup tanpa naungan khalifah. Keadaan ini berpunca daripada peristiwa yang berlaku 100 tahun yang lalu: peristiwa Al-Thawra Al-Arabiyya Al-Kubra atau dalam Bahasa Inggeris “The Great Arab Revolt”.

Sekitar Oktober 1916, Kapten T. E. Lawrence atau “Lawrence of Arabia” tiba di Madinah dan bertemu dengan Amir Faisal, putera sulung kepada Sharif Hussein, pemerintah Haramain (“Penjaga Dua Kota Suci” lantikan Khalifah) yang berketurunan Banu Hashim. Misi Lawrence sebagai wakil Empayar Britain adalah untuk merancang strategi bersama keluarga Sharif untuk menyerang kubu Madinah yang dipertahankan oleh Fakhri Pasha, seorang jeneral Khilafah Turki Uthmaniyyah (“Ottoman”) yang handal. Kehadiran Lawrence menyusuli persetujuan Sharif Hussein dan Henry McMahon, Pesuruhjaya Tinggi Britain di Mesir, untuk bersama-sama menentang Khilafah Uthmaniyyah.

Ketika itu Perang Dunia Pertama (WW1) telah berlangsung dua tahun lebih di antara Pakatan Britain-Perancis-Russia dan Pakatan Jerman-Austria. Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah yang ketika itu dikuasai oleh “Tiga Pasha” (Talaat Pasha, Enver Pasha, Djemal Pasha) telah menyertai pakatan Jerman, walaupun tidak dipersetujui oleh Khalifah Mahmud V (Mehmed V). Keluarga Sharif yang telah lama tidak berpuas hati dengan pemerintahan Turki, membuat keputusan untuk berpakat dengan Britain demi membebaskan bangsa Arab daripada pemerintahan Turki (sebenarnya, tak ramai pun Arab yang sokong keluarga Sharif).

Britain telah memberi janji yang lumayan bahawa Britain akan menyokong Sharif untuk menjadi khalifah kepada dunia Arab.
Namun, apa yang tidak diketahui oleh Sharif ialah perjanjian rahsia di antara Britain dan Perancis yang bernama Perjanjian Sykes-Picot. Al-maklum lah waktu itu tiada WikiLeaks. Menurut perjanjian tersebut, wilayah Uthmaniyah selepas perang akan dibahagikan di antara Britain dan Perancis. Setahun kemudian (1917), Britain juga mengadakan Perjanjian Balfour dengan keluarga Rothschild, penaja gerakan Zionisme bahawa Britain akan mewujudkan sebuah negara Yahudi (“Jewish national home”) di Palestin.
Selepas tamatnya WW1, wilayah Turki Uthmaniyyah dibelah bahagi menurut Perjanjian Sykes-Picot.

Perancis mendapat Syria dan Lebanon; Britain mendapat Palestin, Jordan dan Iraq. Britain tidak mengotakan janji McMahon terhadap Sharif. Malah, Britain memberi bantuan senjata kepada musuh Banu Hashim iaitu Bani As-Saud untuk memerangi Sharif. Belum sempat lagi Sharif menubuhkan khilafah, keluarga As-Saud telah pun menawan Makkah dan Madinah pada tahun 1924 dan keluarga Sharif terpaksa meninggalkan Haramain. Keluarga As-Saud menubuhkan kerajaan yang bernama Arab Saudi.

Manakala di Turki, para pemenang WW1 (Britain, Itali, Greece) cuba menguasai Turki. Mustafa Kemal telah bangkit menentang penceroboh-penceroboh asing. Mustafa Kemal menubuhkan Republik Turki dan dihormati sebagai Ataturk (“Bapa Bangsa Turki”). Pada 3 Mac 1924, Khilafah dimansuhkan. Khalifah ke-101, Sultan Abdul Majid II (Abdulmecid II) dibuang negeri. Apa yang berlaku di Turki selepas itu, semua dah sedia maklum.

Tentu ada pengajaran (ibrah) di sebalik sejarah.

Kedua-dua Turki Uthmaniyyah dan keluarga Sharif, dan umat Islam secara keseluruhan ialah “mangsa geopolitik” yang kena “game” dengan percaturan kuasa-kuasa besar dunia. Britain sebenarnya hanya menganggap keluarga Sharif sebagai satu anak catur untuk menjatuhkan Uthmaniyyah dan membolehkan Britain menguasai Mashriq (kawasan di antara Laut Mediterranean dan Sungai Euphrates) yang strategik.

Begitu juga dengan Jerman. Bukannya Jerman nak buat pakatan dengan Turki sebab pro-Islam. Sebab-sebabnya hanya: kerana ada musuh yang sama dengan Turki iaitu Russia; dan kerana nak cari titik “pivot” di Teluk Parsi untuk melancarkan kuasa (“projecting power”) ke Lautan Hindi yang dikuasai Britain. Begitu juga dengan Hitler semasa Perang Dunia Kedua. Bukannya Hitler anti Yahudi sebab dia sokong perjuangan Palestin, tapi Hitler hanya menggunakan anti-Semitisme untuk mencari sokongan di kalangan negara-negara Arab.

Sudahkah kita mengambil pengajaran?

Amir Faisal ibn Hussein menghadiri Persidangan Keamanan Paris (Paris Peace Conference) di mana pemenang-pemenang WW1 mengadakan rundingan. Lelaki ke-3 dari kanan (sebelah bahu kiri Faisal) ialah T. E. Lawrence. Lawrence agak bersimpati dengan keluarga Sharif dan telah mendapatkan hak memerintah Jordan dan Iraq untuk keluarga Sharif. Pemerintahan keluarga Faisal di Iraq digulingkan dalam kudeta berdarah pada tahun 1958, manakala keturunan Amir Abdullah, putera kedua Sharif masih memerintah Jordan sehingga pada hari ini.

Sumber;  Ayman Rashdan Wong @ The Patriot

Kekeliruan Tentang Maqasid Syariah





Dalam Bahasa Arab, ‘maqasid’ (kata jamak/plural) atau ‘maqsad’ (kata tunggal/singular) bermaksud: tujuan, matlamat atau objektif.

Apabila disandarkan kepada Syariah ianya memberi maksud; Matlamat Pelaksanaan Hukum-hukum Syariah Islam itu sendiri. Tujuan mempelajari ilmu ini adalah untuk lebih meyakinkan kita bahawa di sebalik setiap perintah dan larangan Allah dalam syariat Islam itu mengandungi hikmah, natijah dan matlamatnya yang tersendiri.

Matlamat ini hanya akan tercapai apabila kita melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Jika kita tidak mengetahui maqasid tersebut sekali pun, kita tetap perlu menunaikan solat, zakat, puasa, haji dan segala perintah dan tegahan syarak yang lain.

Jauh sekali bermaksud, jika sudah mengetahui maqasid atau objektifnya, maka tidak perlu lagi beribadat atau mengikut syariat. Saya tidak mahu memetik perbahasan panjang lebar tentang Maqasid Syariah oleh Al-Imam Abu Ishak al-Syatibi (790H) yang terkenal dengan karya agungnya Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah. Itu mungkin di lain kali.

Bagi tujuan memahami definisi “Maqasid Syariah” pada peringkat permulaan, memadai kita merujuk kepada Prof. Dr.Ahmad al-Raisuni (Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia) yang dianggap tokoh yang dirujuk mutakhir ini dalam bidang ilmu ini. Menurut beliau Maqasid Syariah ialah:

هي المعاني والغايات والآثار والنتائج، التي يتعلق بها الخطاب الشرعي والتكليف الشرعي، ويريد من المكلفين السعي والوصول إليها
“Tujuan-tujuan, matlamat-matlamat, kesan-kesan dan natijah-natijah yang bersangkutan dengannya perintah dan tuntutan syarak yang menghendaki orang-orang yang mukallaf agar menjalankan (syariat) dan berusaha untuk mencapainya.”
[Madkhal ila Maqasid as-Syari’ah, Dar al-Kalimah, cet.ketiga 2014, hal.9]

Ini bermakna “maqasid” atau objektif itu adalah berkait rapat dengan pelaksanaan syariah itu sendiri. Bukan bermakna meninggalkan syariat untuk mencapai objektif atau natijahnya.

Analogi mudahnya, seumpama kita makan adalah bertujuan untuk kenyang dan natijah kita meminum air adalah agar hilang dahaga. Tentu janggal sekiranya seseorang berkata, “Kita hanya perlukan kenyang dan hilang dahaga, namun kita tak perlu makan dan minum.”

Akidah dan Syariah

Membicarakan ilmu Maqasid Syariah memerlukan seseorang itu beriman dengan keseluruhan ajaran Islam.

Seorang lagi tokoh iaitu Dr. Ali Ahmad al-Qulaishi menyebut berkenaan kaitan antara akidah dan syariah:

أن الشريعة تشمل كل ما أنزل الله من الأحكام عقائدية ، أم عملية ، أم أخلاقية ، وأن جملة الأحكام المنزلة من عند الله تعتبر شريعة، وأن العقيدة لا تنفرد عن الشريعة ، وأن العقيدة أصل يدفع إلى الشريعة ، والشريعة تكون عبارة عن تلبية الجوارح للعمل بالعقيدة ، فمن آمن بالعقيدة وألغى الشريعة ، أو أخذ بالشريعة وأهدر العقيدة ؛ فلا يكون مسلما لله تعالى ولا آخذا بسبيل النجاة.
“Sesungguhnya syariah itu merangkumi segala apa yang diturunkan oleh Allah berupa hukum-hakam yang berkaitan dengan akidah, amalan dan akhlak. Bahawa seluruh hukum-hakam yang diturunkan dari sisi Allah adalah dianggap sebagai syariah. Bahawa perkara akidah itu tidak terasing daripada syariah. Akidah adalah asas yang mendorong kepada pelaksanaan syariah. Syariah adalah ibarat tindak balas daripada anggota tubuh untuk beramal dengan tuntutan akidah. Sesiapa yang beriman dengan akidah namun menghapuskan syariah atau menerima syariah namun mensia-siakan akidah; maka dia bukanlah seorang muslim yang berserah diri kepada Allah Ta’ala dan dia tidak mengambil jalan yang membawa kepada keselamatan (dari api neraka).”
[Madkhal ila Maqasid as-Syari’ah, cet.kedua 1416H/1996M, hal.12-13]

Tentulah aneh, jika orang bukan Islam yang tidak percaya kepada Syariat Allah atau orang Islam yang tidak yakin dengan agamanya sendiri mahu memberi tunjuk ajar bahawa kita perlu mengutamakan maqasid dan tidak perlu bertegas dengan undang-undang syariah. Saya kira setakat ini, sudah jelas kaitan maqasid, syariah dan akidah.

Matlamat-matlamat pelaksanaan syariah adalah tertumpu kepada menjaga maslahah (kebaikan dan kepentingan) kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Menurut salah seorang tokoh penting dalam ilmu usul al-Fiqh, Hujjatul-Islam al-Imam al-Ghazali (505H):

ومقصود الشرع من الخلق خمسة : وهو أن يحفظ عليهم دينهم، ونفسهم، وعقلهم، ونسلهم، ومالهم،
فكل ما يتضمن حفظ هذه الأصول الخمسة فهو مصلحة، وكل ما يفوِّت هذه الأصول فهو مفسدة، ودفعها مصلحة.
“Matlamat hukum syarak (Maqasid Syariah) bagi makhluk (manusia) ada lima perkara iaitu supaya terpelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Segala perkara yang merangkumi pemeliharaan kelima-lima prinsip ini adalah maslahah (kebaikan) dan segala perkara yang melenyapkannya adalah mafsadah (kerosakan), mempertahankannya adalah maslahah.”
[Al-Mustashfa min ‘Ilm al-Usul, Al-Muassasah al-Risalah, cet.1 1436H-2015M, Jil.1/hal.417]

Di sinilah punca banyaknya kekeliruan tentang Maqasid Syariah. Kerap kali pemimpin negara, ahli politik dan orang-orang awam yang tidak mendalami perbahasan kelima-lima prinsip ini beranggapan bahawa tidak perlu melaksanakan hukum-hakam syariah, apa yang penting ialah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Menegakkan ‘Maqasid Syariah’ lebih penting daripada melaksanakan hudud dan undang-undang jenayah Islam. Sedangkan lima perkara ini adalah kesan, hasil dan natijah daripada pelaksanaan hudud, qisas, diyat dan takzir, bukannya ‘kebaikan’ akibat meninggalkan atau menghapuskannya.

Mereka terkeliru, bahawa apa yang penting ialah semata-mata mengambil maqasid (objectives/purposes) tanpa membawa pelaksanaan syariah. Mereka sebenarnya terkeluar daripada perbahasan ilmu ini.

Aneh! Bagaimana mereka boleh berkata tegakkan “maqasid” tanpa melaksanakan hukuman hudud?

Seorang tokoh ilmu fiqh, maqasid dan ahli tafsir terkenal, Al-Imam Muhammad al-Thahir bin ‘Asyur (1393H) yang lebih dikenali sebagai Ibnu ‘Asyur menyatakan dalam kitabnya Maqasid al-Syariah al-Islamiyah:

لقد بينت في مبحث أن الشريعة ليست بنكاية: أن جميع تصرفاتها تحوم حول إصلاح حال الأمة في سائر أحوالها، وأجملت القول هنالك بأن الزواجر والعقوبات والحدود ما هي إلا إصلاح حال الناس. ويجب أن نبسط القول هنا في مقصد الشريعة من العقوبات من قصاص وحدود وتعزير ؛ وذلك من أكبر مقاصد الشريعة هو حفظ نظام الأمة، وليس يحفظ نظامها إلا بسد ثلمات الهرج والفتن والاعتداء، وأن ذلك لا يكون واقعا موقعه إلا إذا تولته الشرعية ونفذته الحكومة، وإلا لم يزدد الناس بدفع الشر إلا شرا.
“Sesungguhnya aku telah menjelaskan bahawa hukum syariah bukanlah suatu penyeksaan. Sesungguhnya keseluruhan pelaksanaannya berkisar kepada pembaikan hal keadaan umat dalam segala hal ehwalnya. Aku ringkaskan perkara ini bahawa segala tegahan syarak, hukuman dan hudud tidak lain hanyalah bertujuan memperbaiki hal keadaan manusia. Di sini, kita mesti memperluaskan perkara ini dalam matlamat syariah pada hukuman-hukuman qisas, hudud dan takzir. Demikian itu kerana Maqasid Syariah yang paling besar adalah untuk memelihara peraturan masyarakat. Hal ini tidak dapat dipelihara kecuali dengan menutup ruang-ruang berlakunya kekacauan, fitnah dan penindasan. Sesungguhnya itu tidak akan berlaku pada tempatnya melainkan dengan mengambil hukum-hakam syariah dan dilaksanakan oleh pemerintah (kerajaan). Jika tidak, manusia tidak akan dapat menghalang kejahatan malah akan berlaku kejahatan.”
[Dar al-Salam, cet.6, 1435H, hal.232]

Secara jelas lagi nyata, al-Imam Ibnu ‘Asyur mengatakan maqasid tidak boleh tertegak dengan meninggalkan hukum-hukum syariah yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah.

Tidak mungkin menegakkan “maqasid” dengan undang-undang ciptaan manusia, kononnya untuk mencapai matlamatnya yang jelas berkaitan keadilan, kesaksamaan dan kebaikan.

Jika demikian, itu bukanlah Maqasid Syariah sebaliknya maqasid wadh’iyyah (objektif undang-undang ciptaan manusia). Syariat Islam tiada kena mengena dengan “keadilan” undang-undang yang dicanangkan itu.

Ibnu ‘Asyur meneruskan hujahnya bahawa maqasid syarak pada hukuman-hukuman jenayah itu telah diisyaratkan oleh Allah dalam ayat-ayat al-Quran berikut:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا
“Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas.” (Al-Isra: 33)
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.” (Al-Maidah: 49)
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.” (Al-Maidah: 50)

Maqasid Syariah, Hudud dan RUU 355

Apabila timbul isu hudud dan pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355), kedengaran begitu ramai orang yang bukan ahlinya berbicara tentang Fiqh al-Maqasid atau Maqasid Syariah tanpa mengetahui asas-asasnya dan tanpa memahami prinsip-prinsipnya.

Dalam isu RUU 355 ini, sepatutnya para penentang hudud berasa lega kerana usaha menaik taraf dan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan jenayah peribadi atau kesalahan akhlak orang-orang Islam sahaja. Malah, ianya tidak berkaitan pun dengan kes-kes jenayah mencuri, membunuh, menyamun dan merompak yang tertakluk dalam Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Pindaan RUU 355 355 (Seksyen 2) tiada kaitan dengan hukuman bunuh, rejam dan potong tangan. Sekiranya berjaya pun melepasi peringkat-peringkat bacaan, perbahasan dan undian oleh ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat, Mahkamah Syariah di negeri-negeri hanya diberikan bidang kuasa menjatuhkan hukuman sebat yang bersesuaian dengan syariat Islam.

Sekurang-kurangnya hakim boleh menjatuhkan hukuman yang menepati nas-nas al-Quran dan Sunnah bagi tiga kesalahan iaitu zina (ghairu muhsan 100 sebatan), qazaf (80 sebatan) dan meminum arak (minimum 40 dan maksimum 80 sebatan) atau dihukum takzir jika tidak memenuhi syarat-syaratnya.

Jika diperhalusi, kes-kes ini adalah berkaitan dengan akhlak orang-orang Islam yang tidak patut dicampuri oleh orang-orang bukan Islam.

Mengenai ke’tidak saksama’an undang-undang dalam masyarakat majmuk, sememangnya telah wujud dua undang-undang dalam negara Malaysia di mana orang-orang bukan Islam tidak pernah ditangkap khalwat atau berzina, ponteng puasa atau tidak solat Jumaat, minum arak atau berjudi.

Orang-orang Islam tertakluk di bawah Undang-undang Keluarga Islam berhubungan kes talak, rujuk dan fasakh atau hak penjagaan anak, nafkah dan pembahagian harta pusaka.
Tidakkah mereka berminat juga untuk masuk campur atau menghapuskan undang-undang sedia ada ini untuk orang-orang Islam? Bagi mewujudkan kesamarataan, mereka boleh mula melaungkannya sekarang.

Agak janggal juga apabila ada yang menyebut pindaan RUU 355 ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi.

Sedangkan kelulusan akta yang dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) ini pada tahun 1965 serta pindaan A966 adalah sebahagian dari proses demokrasi dan mengikut peruntukan dalam perlembagaan.

Golongan yang sesat dan menyesatkan

Di saat ilmu agama semakin berkurangan, orang ramai menjadi jahil, maka akan timbullah pemuka-pemuka kesesatan yang telah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

Ini dijelaskan dalam hadith yang diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-‘Ash, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّـى إِذَا لَمْ يَبْقَ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا.
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekaligus dari para hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan para ulama, sehingga ketika tidak tinggal lagi orang berilmu, maka manusia akan menjadikan orang-orang jahil sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya, kemudian mereka akan bercakap tanpa ilmu, maka mereka sesat lagi menyesatkan orang lain.”
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilmi, Bab Kaifa Yuqbadhul ‘Ilmi, (no.100) dan Sahih Muslim, Kitab al-Ilmi, bab

Betapa benarnya sabda Rasulullah S.A.W!

Janganlah berasa pelik jika mereka berkata, “Kita hanya berpegang dengan ‘maqasid’ dan tidak perlu melaksanakan syariat”.

Berkata pula yang lain, “Kita menerima hukum-hukum Islam kerana ini perintah Allah. Namun kita tidak akan melaksanakan syariah kerana kita lebih berpegang kepada ‘maqasid’.”

Mungkin ramai yang masih belum jelas yakin akan kesesatan itu.
Apakah perlu sehingga mereka ini berkata:

“Tanpa solat juga boleh mencegah keji dan mungkar,”?

“Apa yang penting kita mencapai takwa, tak berpuasa Ramadhan pun tak mengapa,”?

“Zakat tidak wajib, yang penting harta kita halal lagi suci,”?


Atau apa sahaja alasan-alasan lain yang bermaksud tegakkan ‘maqasid’, syariah tidak perlu dilaksanakan?

Seumpamanya orang gila yang berkata, “Tak perlu makan, yang penting ialah kenyang” atau orang fasik yang berkata, “Makanlah apa sahaja tak semestinya ikut cara Islam, yang penting kenyang”.

Begitulah perumpamaan bagi orang yang berkata, “Tegakkan ‘Maqasid Syariah’ dahulu, baru cerita tentang hudud.”

Orang seperti ini sebenarnya bukan bercakap tentang Maqasid Syariah dalam kerangka Islam, malah ilmu Maqasid tidak pernah menjadi sebahagian agenda politiknya dan bukan pula undang-undang yang diturunkan oleh Allah Ta’ala menjadi keyakinannya.

Hanyalah topeng bagi meraih laba politik agar tidak dilihat terlalu menentang agama Islam atau memang sebenar-benar jahil yang berlapis-lapis?

Terlalu ramai menampilkan diri sebagai ‘bijak pandai’ dalam hukum-hakam agama.

Ketahuilah! Ubat bagi kebodohan adalah belajar dan dengan belajar dapat mengikis sikap menunjuk pandai.


Oleh:
Imran Al-Malizi

Irbid, Jordan
Isnin, 27 Syawal 1437H

Bekas MP Itali Bengang Anak Peluk Islam

Manuela Franco Barbato


Warga Itali dikejutkan setelah anak perempuan Ahli Parlimen mereka mengumumkan telah memeluk agama Islam dan mengubah namanya kepada Aysha.

Manuela Franco Barbato, 22 tahun adalah pelajar di Universita L’orientale de Napoli. Beliau merupakan anak perempuan kepada Franco Barbato, bekas Ahli Parlimen mewakili parti “Italy of Values’.

Bapa beliau memaklumkan kepada akhbar, 
“Penukaran agama ini sesuatu yang dahsyat kerana agama ini sangat keras, sangat radikal dan tidak bertolak ansur. Ini adalah agama fundamentalis. Saya melihat ini secara terus melalui anak saya yang hidup bersama saya. Saya melihatnya setiap hari. Apabila tiba waktu solat, dia tidak mengendahkan anak-anaknya dan ia membuat saya marah. Apabila bayi menangis bermakna bayi mahukan sesuatu dan bayi memerlukan ibunya. Saya sangat kecewa atas pilihan ini yang dibuat dalam hidupnya.”

Manuela menulis di facebook 
“Tudung ini adalah apa Allah telah pilih untuk saya, saya bangga dengan kesucian jiwa saya. Ini adalah peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan, siapa saya untuk menolaknya?”. 

Komen ini menerima banyak tentangan di media sosial kerana kebanyakan warga Itali memandang negatif akan agama Islam dan Muslim.

Franco Barbato


http://www.indahnyaislam.my/2017/02/anak-perempuan-kepada-ahli-parlimen-itali-memeluk-islam/

Angkara Sikap Perkauman Melampau, Seorang Ibu Muslim Ditendang Hingga Keguguran





MILTON KEYNES(UK), Seorang lelaki telah didakwa kerana menyerang seorang perempuan Muslim hamil yang kemudiannya keguguran bayi kembar dalam kandungan akibat serangan itu.

David Gallacher, 37, dilaporkan menyerang bakal ibu itu dengan menendang perutnya ketika beliau sedang berjalan berhampiran dengan masjid.

Wanita Somalia yang tidak dinamakan itu, yang merupakan ibu kepada empat anak lagi terpaksa melarikan diri rumahnya dalam ketakutan akibat serangan berkenaan.

Beliau pada sebelumnya tidak mengetahui bahawa kandungannya adalah kembar sehingga pihak medik memberitahu bahawa beliau telah kehilangan mereka kerana serangan itu.

Manakala, suaminya yang berusia 40 tahun pula terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu teksi untuk tinggal di rumah bagi menjaga isterinya yang trauma.

Gallacher didakwa melakukan serangan yang menyebabkan kecederaan tubuh badan, serangan kerana menumbuk dan dua dikenakan tuduhan melakukan serangan perkauman atau agama secara teruk.

Dia juga pernah didakwa menyerang seorang lelaki yang cuba untuk campur tangan dalam kejadian berhampiran sebuah kedai Ko-op di Milton Keynes, Bucks, Ogos lalu. – Agensi

http://www.ismaweb.net/2017/02/wanita-islam-mengandung-ditendang-di-uk-anak-meninggal-dunia/

Kelantan Negeri Gagal Dan Muflis?



Saya membaca kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seperti yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini 8 Februari 2017 yang menyatakan bahawa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis, berikutan ditadbir oleh PAS, sebuah parti yang gagal. Saya sifatkan kenyataan Guan Eng tersebut hanyalah untuk mengalih tumpuan daripada kontroversi campur tangan terhadap fatwa yang berlaku di Pulau Pinang pada hari ini.

Di dalam usaha mengalih perhatian tersebut, Guan Eng menyerang Kelantan. Barangkali pada tanggapannya, dengan menjadikan Kelantan sebagai sasaran, seluruh perhatian ke Pulau Pinang ekoran keceluparannya sendiri akan terhenti seketika. Namun, meletakkan Kelantan sebagai sasaran hanya akan menjadikan Guan Eng sebagai bahan ketawa.

Guan Eng memfintah Kelantan sebagai sebuah negeri yang muflis pada saat Negeri Kelantan berada pada kedudukan ke-3 tertinggi di Malaysia dari sudut pemilikan kediaman iaitu sebanyak 83.9%. Saya mencabar Guan Eng untuk mendatangkan statistik berapakah peratus pemilikan kediaman di Pulau Pinang bersama perbandingan di antara kekuatan ekonomi Bumiputera di negeri yang ‘sangat kaya’ itu. Saya barangkali boleh sedikit membantu Guan Eng mengingatkan beliau terhadap fakta bahawa mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (2014), populasi penduduk Pulau Pinang adalah 1.663 juta orang iaitu Cina (42.2 peratus), Melayu (41.3 peratus), India (9.8 peratus), bangsa-bangsa lain termasuk warga asing (6.7 peratus). Bagaimanapun dari sudut pemilikan tanah, Pejabat Tanah dan Galian pada 2010 telah mengeluarkan statistik bahawa pemilikan tanah oleh kaum Cina di Pulau Pinang mengikut bilangan hak milik adalah sebanyak 64 peratus, manakala Melayu pula hanya 28 peratus dan India sebanyak 8 peratus.

Ini bukan isu perkauman, ini adalah fakta dan timbanglah sendiri mengikut neraca yang sihat dan adil. Tepatkah peratus pemilikan tersebut jika dibandingkan peratus bilangan penduduk? Adalah lebih baik Kelantan yang diktakan muflis ini jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dari sudut menjaga hak pribumi bumiputera dan keadilan untuk rakyat.

Untuk makluman Guan Eng juga, sumber dari Khazanah Research Institute pada tahun 2016 juga menunjukkan Pulau Pinang sebagai negeri ketiga tertinggi dari sudut ketidakmampuan rakyat untuk membeli rumah. Sekalpun gaji bulanan (pertengahan) rakyat Pulau Pinang berada di angka RM4,702.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri tersebut ialah RM295,000.00 berbanding Kelantan yang walaupun gaji bulanan (pertengahan) di negeri ini ialah RM2.716.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri ini hanyalah sekitar RM157,740.00. Ia sekaligus meletakkan Pulau Pinang berada di tangga indeks 5.2 iaiti sangat tidak mampu dimiliki berbanding Kelantan hanya di tangga indeks 4.8. Apa yang lebihnya Pulau Pinang sehingga anda melabelkan kami sebagai negeri hampir bangkrap?

Suka untuk saya nyatakan kepada Guan Eng, Kelantan telah mencatatkan penurunan kadar kemiskinan sebanyak 1.8% daripada 2.7% pada 2012 kepada 0.9% pada tahun 2014. Pencapaian ‘negeri bangkrap’ ini juga dari sudut anggaran tahunan hasil negeri meningkat dari tahun ke setahun di mana pada tahun 2017, Kelantan mengunjurkanmemperolehi hasil sebanyak RM636.98 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM179.67 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM308.02 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM149.29 juta. Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM43.18 juta ataupun sebanyak 7.27% berbanding dengan anggaran hasil tahun 2016 sebanyak RM593.80 juta.

Adapun kegagalan pemimpin kami membeli rumah banglo yang dilengkapi dengan kolam renang, ia bukanlah kerana Kelantan tidak mempunyai wang dan hampir bangkrap, tetapi negeri ini sudah diasaskan di atas prinsip Membangun Bersama Islam. Prinsip ini sudah cukup menyejukkan tanpa memerlukan kolam renang untuk menurunkan suhu kepanasan. Hakikatnya, membuat perbandingan ‘apple to apple’ di antara dua buah kerajaan negeri ini adalah tidak adil kerana banyak lagi faktor perlu ditimbangkan, namun menuduh dengan bahasa kesat bahawa Kelantan ialah sebuah negeri yang bangkrap dan muflis ialah satu tuduhan yang sangat tidak berperikemanusiaan.

Kelantan terus ditadbir dengan baik oleh kerajaan PAS. Projek-projek persekutuan sekalipun ada yang mengalami diskriminasi, namun sebahagiannya berjalan sekalipun pemimpin negeri tidak berpegangan tangan mesra dengan pemimpin UMNO di atas lantai kaca. Cukup hanya sekadar bergambar bersama pun sudah dilambakkan dengan tuduhan ‘UG’ oleh lidah-lidah pengikut Guan Eng.

Saya hanya memilih menjawab beberapa serangan sahaja sebelum menjawab beberapa isu lain. Samalah seperti seperti kata Guan Eng sewaktu ditanya kenapa tidak menyaman Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, jawabnya “Kenapa perlu membuang masa..?”

Saya syorkan kepada Guan Eng, nikmatilah hari-hari terakhir sebagai seorang manusia yang bebas dengan sebaik mungkin. Bimbang nanti jika anda ‘ke dalam’ untuk kali kedua, lebih ramai yang bergembira daripada yang bersimpati dengan nasib tuan.

Sekian, wassalam.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
8 Februari 2017

Mengapa PAS Tolak DAP?



Sesebuah negara atau tamadun manusia ada kisah mula dan akhirnya. Ada sebab ia berkembang maju dan ada sebabnya ia jatuh dan runtuh. Semuanya disimpan di dalam lipatan sejarah sebagai pelajaran dan pengajaran buat manusia yang datang selepasnya.

Di dalam al Quran Allah menceritakan kehancuran kerajaan-kerajaan besar seperti kaum 'Aad, Thamud, Ashabu Madyan dan kerajaan Firaun di Mesir. Ketika kerajaan-kerajaan tersebut runtuh, mereka hidup penuh kekuatan dan kemewahan. Ertinya, mereka hancur bukan kerana kemiskinan dan kemelaratan hidup. Tetapi kerana sebab lain yang mungkin di luar kajian dan kesepakatan manusia hari ini. Mereka dihancurkan kerana mereka memusuhi Allah dan rasul-Nya.

Kita sering berbahas panjang tentang kemiskinan dan teruknya kedudukan ekonomi sesebuah negara. Kita sering jadikannya sebagai kayu ukur kebangunan dan kemakmuran sesebuah negara. Apabila negara dihimpit oleh kemurungan ekonomi akibat salah laku pemerintah atau sebab-sebab lain, maka kita secara mudah menganggap negara sedang di ambang kehancuran.

Apabila ada yang mengingatkan tentang ugama dan murka Allah sebagai sebab utama kehancuran sesebuah negara, ramai yang berpaling dan menolaknya, malah menganggap ia sebagai mengarut dan mengada-ngada. Bagi mereka, redha Allah adalah pada kemakmuran ekonomi manakala murka Allah adalah pada kesempitan ekonomi.

Negara kita sekarang sememangnya sakit kehidupan rakyatnya. Kenaikan harga barang dan sempitnya pintu rezeki rakyat begitu menghimpit kehidupan. Sudah pasti pihak kerajaan dan parti pemerintah menjadi punca utama keadaan ini. Polisi dan tindakan kerajaan yang lemah dan salah telah meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil dan sering terlucut daripada kawalan dan pemanduan yang betul.

Sekarang kita harus bertanya, adakah kerosakan negara kita yang mungkin akan semakin teruk adalah disebabkan oleh kemelaratan hidup atau oleh kejahatan pemerintah? Sudah pasti jawabannya adalah kerana pemerintah. Kemelaratan hidup adalah kesan yang dirasai oleh rakyat teramai. Tindakan pemerintah yang zalimlah yang telah memudaratkan negara.

Wujudkah kemurkaan Allah di sini? Jawabannya ya. Allah memurkai pemerintah yang gagal menunaikan amanah pemerintahan dan kekuasaan yang dikurniakanNya. Unsur rasuah, pembaziran, salah guna kuasa, pilih kasih, penganiayaan, pengabaian terhadap fakir miskin dan sebagainya adalah punca-punca pengabaian terhadap perintah Allah yang menarik kemurkaanNya.

Kesalahan-kesalahan berulang sejak lama oleh pemerintah ini jika tidak dihalang sudah pasti akan terus menarik kemurkaan Allah. Kemurkaan Allah pasti akan berakhir dengan hukuman yang lebih berat. Ia bukan sekadar kemelaratan ekonomi, bahkan kemelaratan kemanusiaan itu sendiri. Manusia akan meninggalkan ugama dan hidup seperti binatang yang merajakan nafsu dan kehilangan manusiawi dan ugama. Saat itu tiada erti lagi kehidupan yang didamba.

Kerana itulah para ulamak yang benar dan ikhlas sering mengingatkan pihak pemerintah agar bertaqwa dan berlaku adil kepada rakyat. Suara dan seruan kepada Allah sentiasa diulang-ulang agar peringatan besar ini tidak hilang dan lenyap di tengah-tengah kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.

Anda telah menemukan jawaban bahawa kesempitan ekonomi dan kehidupan negara hari ini adalah berpunca daripada pengabaian terhadap perintah Allah agar negara ini ditadbir dengan prinsip taqwa dan keadilan sesama manusia. Justeru anda melihat Islam dan para pejuangnya begitu konsisten memberi peringatan kepada rakyat dan pemerintah agar mengislahkan negara menuju jalan yang lebih mendekati redha Allah.

Saya ajukan kepada anda satu soalan penting. Bagaimana reaksi anda terhadap penyelesaian isu-isu negara tanpa mengambil kira soal kemurkaan Allah? Di negara kita, ada golongan yang melihat bahawa kemiskinan adalah punca keruntuhan negara yang disebabkan oleh pemerintah yang gagal mentadbir dengan betul. Kekuatan ekonomi menjadi kayu ukur kejayaan sesebuah negara. Bagi mereka, unsur redha dan murka Allah hanyalah sekadar mainan bibir bagi menarik hati rakyat yang beragama untuk menyokong mereka menjatuhkan pihak pemerintah.

Bagi mereka, sebagai contoh, walaupun riba adalah aktiviti ekonomi dan kewangan yang dimurkai Allah, selama mana ia mendatangkan kerancakan kepada ekonomi negara, maka ia harus diterima dan dikembangkan. Begitu juga, jika aktiviti judi dan pelacuran diurus secara baik dan profesional, lalu membantu ekonomi negara, maka ia haruskan dibenarkan.

Golongan ini akan segera menolak ajakan-ajakan kepada syariah Islam dan hukum-hukum agama yang disifatkan menyekat kebebasan dan hak-hak manusia untuk bebas membuat keputusan sendiri untuk diri sendiri dan masyarakat tanpa ikatan agama. Bagi mereka, agama mestilah dihalang mencampuri urusan negara. Agama bukanlah panduan yang praktikal dan sesuai untuk memajukan sebuah negara moden hari ini.

Apa reaksi anda? Tanpa menanti jawaban, saya ingin tegaskan bahawa inilah kemelut yang melanda negara kita hari ini. Kita sebenarnya bukan hanya berhadapan dengan krisis kemelaratan ekonomi dan kesempitan hidup rakyat sahaja. Bahkan krisis yang turut melanda ialah bagaimana melihat kepada penyelesaian sebenar isu-isu negara. Adakah dengan hanya menukar kerajaan lama, maka ia mencukupi untuk masa depan negara yang lebih baik?

PAS mengingatkan rakyat bahawa kehancuran negara adalah kerana negara itu menjemput kemurkaan Allah. Apabila kemurkaanNya memuncak dengan kehendakNya, Allah pasti menghancurkan negara tersebut dengan seburuk-buruk kehancuran. Ia bukan lagi dengan menghancurkan ekonominya, bahkan ia membawa kepada fitnah terhadap agama dan iman. Rakyat akan sanggup mencari sesuap nasi dan keselesaan hidup walaupun terpaksa menggadai agama mereka sendiri. Adakah lagi kehancuran manusia yang lebih buruk daripada itu?

Justeru PAS menyeru rakyat agar menolak sebarang penyelesaian yang menolak pesanan-pesanan agama. PAS menolak mereka yang bermusuh dengan Allah, Rasul dan agamaNya. Ia hanya ajakan meninggalkan kemurkaanNya menuju kemurkaanNya yang baru. Ia kerja sia-sia yang membazirkan masa dan usaha menuju kehidupan yang diredhai Allah.

Jika anda bertanya, mengapa PAS menolak DAP dan mereka yang bersamanya, maka jawabannya adalah selaras dengan apa yang dijelaskan di atas. DAP menolak penyelesaian agama untuk negara. Bukan hanya untuk negara, DAP berani menolak dan menentang kehendak umat Islam untuk berubat dan mencari penyelesaian dengan agama Islam mereka sendiri. Ia adalah permusuhan yang nyata terhadap Allah dan agamaNya. Justeru PAS mengingatkan rakyat Malaysia agar menolak penyelesaian cara DAP.

Islam adalah agama yang sempurna. Kecacatan umat adalah kerana jauhnya mereka daripada panduan agamanya yang sempurna. Adalah satu yang amat jelas mengapa umat Islam harus kembali kepada agamanya sendiri. Justeru adalah suatu yang amat nyata bahawa berjuang menegakkan agamaNya adalah satu kemuliaan yang tertinggi. -

Nik Muhammad Abduh Nik Abd Aziz

HARAKAHDAILY 6/2/2017

Rahsia Khusyuk Dalam Solat


Terdapat seorang ahli ibadah yang sangat taat bernama Isam bin Yusuf. Beliau sangat warak dan khusyuk setiap kali mendirikan solatnya. Namun beliau selalu bimbang jika ibadahnya kurang khusyuk dan sering bertanya kepada orang-orang yang dianggap lebih alim untuk memperbaiki dirinya yang selalu dianggap kurang khusyuk.


Pada suatu hari, Isam bin Yusuf menemui seorang abid bernama Hatim al-Isam dan bertanya;

Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan mendirikan solat?

Apabila masuk waktu solat aku berwudhuk zahir dan batin.” Hatim al-Isam lalu menjawab, kemudian Isam bin Yusuf bertanya lagi, “Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?

Hatim al-Isam kemudian berkata,

Wudhuk zahir seperti biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air. Tapi wudhuk batin adalah membasuh anggota dengan tujuh perkara.”

Isam bin Yusuf bertanya lagi dengan penuh perasaan, “apakah tujuh perkara itu?
“Pertama bertaubat, kedua menyesali dosa yang dilakukan, ketiga adalah tidak tergila-gilakan dunia, keempat tidak mencari atau mengharap pujian orang lain, yang kelima tinggalkan sifat berbangga, keenam tinggalkan sifat khianat dan menipu dan ketujuh adalah meninggalkan sifat dengki.” Jawab Hatim al-Isam.
“Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Sirratul Mustaqim’ dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat yang terakhir, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat aku fahamkan maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk, aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.”
Terang Hatim al-Isam kepada Isam bin Yusuf.

Sebaik saja Isam mendengar kata-kata Hatim al-Isam itu, Isam bin Yusuf terus menangis dan membayangkan ibadahnya yang kurang baik jika dibandingkan dengan Hatim al-Isam.

Demikian kebimbangan seorang ahli ibadah terhadap solatnya, bagaimana dengan kita? Adakah sudah cukup khusyuk solat kita selama ini?

Solat adalah ibadah yang mempunyai kedudukan paling mulia di sisi Allah SWT. Solat itu juga tiang agama. Disebabkan itulah solat dapat membezakan antara orang mukmin dan kafir. Sesungguhnya solat juga menghindari daripada perlakuan munkar dan mampu melebur dosa seseorang.
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.”
Al-Ankabuut: 45Sesuai dengan tempatnya yang tinggi di sisi Allah, sudah tentu solat haru dilaksanakan dengan aturan yang istimewa; khusyuk.
Namun, khusyuk itulah yang susah digapai, bahkan menjadi dambaan agung bagi setiap umat Islam.

Tapi bagaimana untuk meraih khusyuk itu dalam solat kita? Terdapat beberapa cara yang boleh diaplikasikan demi mendapatkan solat yang khusyuk, seperti;

• Bersedia untuk solat
• Mengingat mati ketika solat
• Menghayati makna bacaan solat
• Membaca dan meneliti bacaan dengan betul
• Mengagungkan Allah SWT
• Tumakninah
• Wudhuk yang sempurna
• Tumpuan penuh pada solat
• Doa agar terhindar dari godaan syaitan
• Membaca surah sambil berhenti pada tiap ayat-ayatnya
• Meyakini bahawa Allah akan mengabulkan permintaan umatnya yang mendirikan solat
• Solat di awal waktu
• Azan dan iqamah
• Solat berjemaah
• Kosongkan hati dan lapangkan fikiran
• Suara bacaan tidak terlalu perlahan dan terlalu kuat (sederhana)
• Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
• Hindari solat ketika mengantuk
• Melihat ke arah tempat sujud
• Meletakkan sutrah (tabir pembatas)
• Menghilangkan sesuatu yang mengganggu kita di tempat solat
• Tidak solat di tempat yang terlalu dingin atau terlalu panas
• Menjaga makanan, minuman dan pemakaian
• Pilih tempat solat yang menenangkan
• Hindari solat sambil menahan buang air besar atau menahan air kecil
• Hindari solat berdekat makanan atau minuman yang disukai
• Membersihkan diri dan bersugi
• Jauhi solat di belakang orang-orang yang sedang bercakap-cakap atau orang yang tidur
• Jangan solat dalam keadaan lapar
• Pastikan tiada gangguan
• Kurangkan pergerakan
• Melawan goadaan syaitan dengan berzikir
• Pilih tempat solat yang menenangkan
• Gunakan sejadah atau pelapik yang tidak mengganggu perhatian
• Menghindari dari memikirkan hal keduniaan
• Merendahkan diri dan tawaduk

Sesungguhnya, orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari bahawa dia hanyalah hamba, pasti akan patuh dengan setiap perintah yang disampaikan oleh para rasul, bahkan akan lebih khusyuk demi mendapat nikmat solat. Seperti firman Allah SWT:
“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”
Surah al-Baqarah: 45-46
Sumber:  http://tazkirah.net/mencari-tenang-dan-khusyuk-dalam-solat/

Hakikat Ilmu



Apakah hakikat ilmu pada diri pemiliknya?
1. Ilmu itu suatu yg bila bertambah akan semakin 
    rendah dirinya.

2. Akan semakin ingat ia akan akhirat. 
3. Akan semakin meremehkan dunia. 
4. Akan semakin Yakin kpd Tuhannya. 
5. Akan semakin menghormati org2 yg berilmu. 
6. Akan semakin takut memberikan jawapan atas  sebarang soalan. 
7. Akan semakin resah jika terkenal. 
8. Tidak merasa sedih jika dilupai dan tidak merasa sombong jika dikenali. 
9. Akan semakin cintakan dan rindukan syahid. 
10. Akan semakin sayang kepada golongan fuqara dan masaakin. 
11. Akan semakin mencintai dan ternanti2 kan waktu munajat di tengah mlm.

Jika semua itu tiada pada seorg yg berilmu, sebenarnya ia belum memiliki apa2 ilmu. Kerana ILMU itu bukan pada banyaknya riwayat dan banyaknya kitab. itu lah hakikat ilmu.

Bukan Islam Tidak Boleh Menjadi Ketua kerajaan Islam



Syarat utama sebuah kerajaan Islam ialah ia mesti ditadbir oleh seorang muslim. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali seperti dipetik di SINI berkata:

“Tidak boleh Ketua Negara, Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menterinya seorang bukan Islam. Itu syarat utama sebuah kerajaan Islam." 
“Kekuasaan Islam tidak akan tertegak menerusi seorang Ketua Menteri bukan Islam kerana ketiadaan akidah Islam tidak akan menjamin pelaksanaan Syariat Islam,” 

Sehubungan itu, katanya, menaikkan elaun guru al-Quran, memberi tanah untuk pembinaan Mahkamah Syariah, membina masjid atau menyediakan peruntukan untuk agama Islam, bukannya ukuran utama keislaman sesebuah kerajaan.

Beliau berkata, pelaksanaan Islam di sebuah negara atau negeri tidak boleh bersifat tempelan, sebaliknya keislaman sesebuah kerajaan tergambar dengan Islam dijadikan dasar dan prinsip dalam semua aspek pengurusan dan pentadbiran bagi kementerian dan jabatan.

“Sesebuah kerajaan perlu menerima bahawa al-Quran dan al-Sunnah mesti menjadi rujukan. Sebuah kerajaan Islam mesti diperintah oleh seorang muslim yang adil yang tidak fasik melakukan dosa-dosa besar. Seorang yang fasik melakukan maksiat berterusan tanpa taubat mana mungkin mampu menegakkan sebuah keadilan." 
“Islam mesti diterima pada undang-undang ibadahnya, undang-undang kekeluargaannya, undang-undang kontrak dan transaksi kewangan, undang-undang jenayah, undang-undang antarabangsa, kehakiman dan politik pemerintahan. Riba tidak boleh menjadi paksi ekonomi dan kewangan kerana ia adalah ibu kerosakan". 
“Jangan terpedaya dengan momokan untuk adil seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz jika akidahnya tidak seperti Umar bin Abdul Aziz, sementelah pula akhlaknya kerana keadilan itu tidak akan berlaku dan terlaksana tanpa akidah dan akhlak Islam,” katanya.

Apakah Itu Bunian?





Soalan: Boleh terangkan bunian ini makhluk apa? 

Jawapan: 

Bunian adalah merujuk kepada makhluk halus atau orang halus yang tinggal di hutan, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. 

Masyarakat Melayu menganggap bunian adalah antara makhluk ghaib yang menjadi penyebab kepada histeria (penyakit urat saraf yang terlihat pada letusan-letusan emosi yang tidak dapat dikawal) atau dikenali dalam kebudayaan Melayu sebagai ‘dirasuk hantu’. 

Menurut pandangan pakar perubatan Islam terkemuka, almarhum Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, orang bunian adalah wujud dan tergolong dalam kelompok makhluk halus. Makhluk halus seperti ini suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia dan mewujudkan perkampungan mereka sendiri disamping hidup berkeluarga dan bermasyarakat. 

Secara khususnya, kami berpandangan bahawa ianya adalah daripada kelompok jin yang dikenali dengan nama ‘Amir (عَامِرٌ) yang tinggal bersama-sama dengan manusia.[1] Ini kerana ianya bersamaan dengan kebiasaan kelompok bunian yang tinggal berdekatan dengan penempatan manusia dan mempunyai penempatan tersendiri. 

Ini disokong oleh sebuah hadith Nabi SAW:

 الجِنُّ على ثَلَاثَةِ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ في الهَوَاءِ وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلَابٌ وَصِنْفٌ يَحِلُّوْنَ وَيَظْعَنُوْنَ 

Maksudnya: “Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang ke sana ke mari (di udara), satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, manakala golongan yang ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah randah.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, no. 573; al-Hakim dalam al-Mustadrak no. 3702)

Akhukum fillah, 
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri 
Mufti Wilayah Persekutuan 
______________________________
 [1] Ibn ‘Abd al-Barr. al-Tamhid, 1/117

http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/969-al-kafi-li-al-fatawi-siri-ke-479-apakah-itu-bunian