Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Bagaimana Empayar Uthmaniah Turki Dirobek Penjajah?


Lagi 7 tahun (2024), maka genaplah satu abad umat Islam hidup tanpa naungan khalifah. Keadaan ini berpunca daripada peristiwa yang berlaku 100 tahun yang lalu: peristiwa Al-Thawra Al-Arabiyya Al-Kubra atau dalam Bahasa Inggeris “The Great Arab Revolt”.

Sekitar Oktober 1916, Kapten T. E. Lawrence atau “Lawrence of Arabia” tiba di Madinah dan bertemu dengan Amir Faisal, putera sulung kepada Sharif Hussein, pemerintah Haramain (“Penjaga Dua Kota Suci” lantikan Khalifah) yang berketurunan Banu Hashim. Misi Lawrence sebagai wakil Empayar Britain adalah untuk merancang strategi bersama keluarga Sharif untuk menyerang kubu Madinah yang dipertahankan oleh Fakhri Pasha, seorang jeneral Khilafah Turki Uthmaniyyah (“Ottoman”) yang handal. Kehadiran Lawrence menyusuli persetujuan Sharif Hussein dan Henry McMahon, Pesuruhjaya Tinggi Britain di Mesir, untuk bersama-sama menentang Khilafah Uthmaniyyah.

Ketika itu Perang Dunia Pertama (WW1) telah berlangsung dua tahun lebih di antara Pakatan Britain-Perancis-Russia dan Pakatan Jerman-Austria. Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah yang ketika itu dikuasai oleh “Tiga Pasha” (Talaat Pasha, Enver Pasha, Djemal Pasha) telah menyertai pakatan Jerman, walaupun tidak dipersetujui oleh Khalifah Mahmud V (Mehmed V). Keluarga Sharif yang telah lama tidak berpuas hati dengan pemerintahan Turki, membuat keputusan untuk berpakat dengan Britain demi membebaskan bangsa Arab daripada pemerintahan Turki (sebenarnya, tak ramai pun Arab yang sokong keluarga Sharif).

Britain telah memberi janji yang lumayan bahawa Britain akan menyokong Sharif untuk menjadi khalifah kepada dunia Arab.
Namun, apa yang tidak diketahui oleh Sharif ialah perjanjian rahsia di antara Britain dan Perancis yang bernama Perjanjian Sykes-Picot. Al-maklum lah waktu itu tiada WikiLeaks. Menurut perjanjian tersebut, wilayah Uthmaniyah selepas perang akan dibahagikan di antara Britain dan Perancis. Setahun kemudian (1917), Britain juga mengadakan Perjanjian Balfour dengan keluarga Rothschild, penaja gerakan Zionisme bahawa Britain akan mewujudkan sebuah negara Yahudi (“Jewish national home”) di Palestin.
Selepas tamatnya WW1, wilayah Turki Uthmaniyyah dibelah bahagi menurut Perjanjian Sykes-Picot.

Perancis mendapat Syria dan Lebanon; Britain mendapat Palestin, Jordan dan Iraq. Britain tidak mengotakan janji McMahon terhadap Sharif. Malah, Britain memberi bantuan senjata kepada musuh Banu Hashim iaitu Bani As-Saud untuk memerangi Sharif. Belum sempat lagi Sharif menubuhkan khilafah, keluarga As-Saud telah pun menawan Makkah dan Madinah pada tahun 1924 dan keluarga Sharif terpaksa meninggalkan Haramain. Keluarga As-Saud menubuhkan kerajaan yang bernama Arab Saudi.

Manakala di Turki, para pemenang WW1 (Britain, Itali, Greece) cuba menguasai Turki. Mustafa Kemal telah bangkit menentang penceroboh-penceroboh asing. Mustafa Kemal menubuhkan Republik Turki dan dihormati sebagai Ataturk (“Bapa Bangsa Turki”). Pada 3 Mac 1924, Khilafah dimansuhkan. Khalifah ke-101, Sultan Abdul Majid II (Abdulmecid II) dibuang negeri. Apa yang berlaku di Turki selepas itu, semua dah sedia maklum.

Tentu ada pengajaran (ibrah) di sebalik sejarah.

Kedua-dua Turki Uthmaniyyah dan keluarga Sharif, dan umat Islam secara keseluruhan ialah “mangsa geopolitik” yang kena “game” dengan percaturan kuasa-kuasa besar dunia. Britain sebenarnya hanya menganggap keluarga Sharif sebagai satu anak catur untuk menjatuhkan Uthmaniyyah dan membolehkan Britain menguasai Mashriq (kawasan di antara Laut Mediterranean dan Sungai Euphrates) yang strategik.

Begitu juga dengan Jerman. Bukannya Jerman nak buat pakatan dengan Turki sebab pro-Islam. Sebab-sebabnya hanya: kerana ada musuh yang sama dengan Turki iaitu Russia; dan kerana nak cari titik “pivot” di Teluk Parsi untuk melancarkan kuasa (“projecting power”) ke Lautan Hindi yang dikuasai Britain. Begitu juga dengan Hitler semasa Perang Dunia Kedua. Bukannya Hitler anti Yahudi sebab dia sokong perjuangan Palestin, tapi Hitler hanya menggunakan anti-Semitisme untuk mencari sokongan di kalangan negara-negara Arab.

Sudahkah kita mengambil pengajaran?

Amir Faisal ibn Hussein menghadiri Persidangan Keamanan Paris (Paris Peace Conference) di mana pemenang-pemenang WW1 mengadakan rundingan. Lelaki ke-3 dari kanan (sebelah bahu kiri Faisal) ialah T. E. Lawrence. Lawrence agak bersimpati dengan keluarga Sharif dan telah mendapatkan hak memerintah Jordan dan Iraq untuk keluarga Sharif. Pemerintahan keluarga Faisal di Iraq digulingkan dalam kudeta berdarah pada tahun 1958, manakala keturunan Amir Abdullah, putera kedua Sharif masih memerintah Jordan sehingga pada hari ini.

Sumber;  Ayman Rashdan Wong @ The Patriot

Bekas MP Itali Bengang Anak Peluk Islam

Manuela Franco Barbato


Warga Itali dikejutkan setelah anak perempuan Ahli Parlimen mereka mengumumkan telah memeluk agama Islam dan mengubah namanya kepada Aysha.

Manuela Franco Barbato, 22 tahun adalah pelajar di Universita L’orientale de Napoli. Beliau merupakan anak perempuan kepada Franco Barbato, bekas Ahli Parlimen mewakili parti “Italy of Values’.

Bapa beliau memaklumkan kepada akhbar, 
“Penukaran agama ini sesuatu yang dahsyat kerana agama ini sangat keras, sangat radikal dan tidak bertolak ansur. Ini adalah agama fundamentalis. Saya melihat ini secara terus melalui anak saya yang hidup bersama saya. Saya melihatnya setiap hari. Apabila tiba waktu solat, dia tidak mengendahkan anak-anaknya dan ia membuat saya marah. Apabila bayi menangis bermakna bayi mahukan sesuatu dan bayi memerlukan ibunya. Saya sangat kecewa atas pilihan ini yang dibuat dalam hidupnya.”

Manuela menulis di facebook 
“Tudung ini adalah apa Allah telah pilih untuk saya, saya bangga dengan kesucian jiwa saya. Ini adalah peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan, siapa saya untuk menolaknya?”. 

Komen ini menerima banyak tentangan di media sosial kerana kebanyakan warga Itali memandang negatif akan agama Islam dan Muslim.

Franco Barbato


http://www.indahnyaislam.my/2017/02/anak-perempuan-kepada-ahli-parlimen-itali-memeluk-islam/

Angkara Sikap Perkauman Melampau, Seorang Ibu Muslim Ditendang Hingga Keguguran





MILTON KEYNES(UK), Seorang lelaki telah didakwa kerana menyerang seorang perempuan Muslim hamil yang kemudiannya keguguran bayi kembar dalam kandungan akibat serangan itu.

David Gallacher, 37, dilaporkan menyerang bakal ibu itu dengan menendang perutnya ketika beliau sedang berjalan berhampiran dengan masjid.

Wanita Somalia yang tidak dinamakan itu, yang merupakan ibu kepada empat anak lagi terpaksa melarikan diri rumahnya dalam ketakutan akibat serangan berkenaan.

Beliau pada sebelumnya tidak mengetahui bahawa kandungannya adalah kembar sehingga pihak medik memberitahu bahawa beliau telah kehilangan mereka kerana serangan itu.

Manakala, suaminya yang berusia 40 tahun pula terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu teksi untuk tinggal di rumah bagi menjaga isterinya yang trauma.

Gallacher didakwa melakukan serangan yang menyebabkan kecederaan tubuh badan, serangan kerana menumbuk dan dua dikenakan tuduhan melakukan serangan perkauman atau agama secara teruk.

Dia juga pernah didakwa menyerang seorang lelaki yang cuba untuk campur tangan dalam kejadian berhampiran sebuah kedai Ko-op di Milton Keynes, Bucks, Ogos lalu. – Agensi

http://www.ismaweb.net/2017/02/wanita-islam-mengandung-ditendang-di-uk-anak-meninggal-dunia/

Disingkir Pasukan Bola Sepak Kerana Bantu Badan Kebajikan



Pemain Tunisia, Anis Ben-Hatira yang bermain untuk kelab Darmstadt di Jerman telah ditamatkan kontrak oleh kelab tersebut atas persetujuan bersama. Ia selepas pemain tengah tersebut dikaitkan dengan pertubuhan keganasan walaupun dinafikan beliau.

Menurut Anis, beliau hanya membantu organisasi itu memperjuangkan layanan sama rata terhadap semua orang walaupun wujud perbezaan warna kulit dan kepercayaan agama.

Beliau juga merasakan tindakan Darmstadt itu sebagai sabotaj terhadap kariernya di Jerman. Ia tuduhan yang agak liar untuk beliau terima. Kemudian, Anis menganggap tindakan mereka sebagai memburuk-burukkannya. Beliau mempertahankan tindakan untuk berkerjasama dengan Ansaar International.

Ansaar International merupakan sebuah badan bukan kerajaan di Jerman. Badan ini mempunyai pelbagai projek di Syria, Palestin dan Afghanistan.

Ini berpunca daripada laporan media negara tersebut mengatakan pertubuhan itu ada kaitan dengan keganasan. Padahal ia cuma pertubuhan kebajikan yang menyalurkan bantuan tanpa mengira latar belakang penerima di wilayah yang memerlukan.
Anis Ben-Hatira sering membantu badan tersebut dalam melaksanakan programnya. Namun, ia telah mengundang kritikan ramai pihak.
Antara pihak mengkritiknya ialah penyokong kelab.

Sebahagian penyokong kelab telah memasang kain rentang meminta Anis Ben-Hatira agar menjauhkan diri dengan organisasi tersebut.

Lebih teruk apabila pasukan beliau Darmstadt turut campur tangan. Darmstadt dipercayai ditekan oleh sekumpulan individu yang berpengaruh.

Darmstadt mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak beliau. Presiden kelab, Rudiger Fritsch menyifatkan tindakan pemain itu salah. Ini kerana Ansaar International itu dikritik di seluruh Jerman.

Rudiger Fritsch juga mengesahkan Anis dilepaskan atas persetujuan bersama (mutual consent). Rudiger Fritsch berkata:
“Kami dengan dukacita memaklumkan kerjasama kami dengan Anis Ben Hatira telah tamat.” 
“Kami mengharapkan Ben Hatira, pemain yang sentiasa memberikan teladan yang baik sepanjang beliau di sini, semoga berjaya di masa akan datang.”

Ia tamparan untuk pengurus Darmstadt, Torsten Frings yang menganggap Anis Ben-Hatira sebagai pemain penting dalam pasukan.
Sumber- https://semuanyabola.com/anis-ben-hatira/

Tak Tunggu Lama, Israel Luluskan 560 Penempatan Haram Baru Selepas 48jam Trump Menghuni White House


Ketika hari-hari terakhir Barack Obama sebagai Presiden, beliau mengkritik usaha mengembangkan penempatan Israel atas alasan ia merosakkan keamanan serantau dan merencatkan usaha penyelesaian antara Israel dengan Palestin.

Obama turut terpaksa memberi penjelasan kepada Netanyahu berhubung Amerika Syarikat yang mengambil pendekatan berkecuali dan tidak memveto resolusi mengutuk penempatan haram.

Namun sebaik sahaja mengambil alih kerusi Presiden, Donald Trump ternyata telah membuat pusingan 'U'  dengan mengambil pendekatan dasar Amerika Syarikat yang mesra Israel. Ianya dapat dilihat dengan kelulusan permit bangunan baru yang dikeluarkan pada Ahad.

Israel telah meluluskan 560 unit rumah tambahan yang akan dibina sebagai sebahagian daripada inisiatif penempatan haram di Timur Baitulmaqdis.

Pengumuman itu dibuat 48 jam selepas Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45.

Perkara tersebut mula tersebar selepas Radio Israel menemu bual Pengarah Jawatankuasa Perancangan dan Bangunan Jerusalem, Meir Turgeman yang memberitahu, permit yang sebelum ini ditangguhkan telah lulus sebaik sahaja Barack Obama meninggalkan White House.

Selepas kelulusan baharu diberikan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memutuskan untuk menarik balik larangan ke atas pembinaan penempatan di Timur Baitulmaqdis.

"Tidak perlu lagi penyelarasan dan kini kita boleh bina di mana tempat yang kita mahu," katanya dalam kenyataan yang dilaporkan Reuters.

Tambahnya, beliau mahu pembinaan penempatan Israel di semua wilayah Palestin.

"Kita telah duduki Palestin sejak 1967. Wawasan saya ialah untuk menggubal kedaulatan ke atas keseluruhan kawasan," tambahnya.

Sejam Yang Berharga Bersama Ayah Chik

Artikel ini adalah tulisan Alang ibn Syukrimun dan telah disiarkan di laman facebook beliau didalam tiga bahagian berasingan tetapi telah saya gabungkan sebagai satu artikel sebagaimana di bawah.

BHG 1 - CUBAAN PERANGKAP AL-QAEDA




Rasanya berbaloi hari ini kalau saya kongsikan cerita semalam. Alhamdulillah dalam kesempatan yang tidak dirancang, sekali lagi berpeluang berjumpa dengan Ayah Chik secara peribadi. Rasanya dah lama tidak ada kesempatan sebegitu. Walaupun rumah kami selang beberapa meter sahaja, tapi tak sangka berjumpa di negeri orang. Kalau dah jodoh kata orang Zimbabwe.


Saya tak berhasrat untuk cerita bagaimana kami boleh bertemu. Tapi yang lebih penting adalah apa isinya.

Awal pertemuan, kami sembang isu Indonesia, cita-cita dan usaha beliau untuk rantau ini. Besar sungguh harapan beliau. Dari apa yang diceritakan, rantau ini sangat berpotensi untuk bangkit dari pelbagai segi. Namun, ia juga tidak terlepas dari rebutan antara kuasa-kuasa besar.

Lepas satu-satu topik, sampai bab Hamas, bab Qatar dan Syeikh Majid Zindani. Salah satu cerita yang menarik ialah bagaimana cubaan untuk memerangkap beliau bersama kumpulan al-Qaeda tidak lama dahulu. Mujur Allah selamatkan beliau. Kalau tidak, mungkin dah lama dicop sebagai pengganas dan diburu hingga sekarang.

Ringkas cerita, sebelum peristiwa 11 September, Osama Laden telah mengadakan satu perjumpaan dengan menjemput wakil gerakan-gerakan Islam sedunia. Surat jemputan turut sampai kepada Ayah Chik namun beliau tidak melayan jemputan yang tidak dikenali. Walaubagaimanapun, ramai pemimpin gerakan Islam lain hadir tanpa sebarang syak.

Tidak lama selepas perjumpaan itu, berlaku peristiwa 11 September tahun 2001 di Washington. Bagaikan 'skrip' yang telah dihafal, Amerika terus menuduh al-Qaeda dan melancarkan kempen anti teroris dengan mensasarkan al-Qaeda serta Osama sebagai dalang. Gambar perjumpaan itu turut didedahkan di media-media dan semua peserta yang ada dalam gambar diburu sehingga kini atas tuduhan bersekongkol dengan pengganas.

Mungkin kerana Ayah Chik termasuk dalam 'skrip' senarai yang cuba diperangkap melalui surat jemputan terdahulu, pihak media khususnya Daily Mirror terlanjur menyenaraikan gambar Ayah Chik antara mereka yang terlibat dalam peristiwa itu. Akhbar tersebut turut mendakwa Ayah Chik sebagai orang no.2 al-Qaeda.

Ayah Chik melalui firma guaman Carter Ruck terus menyaman akhbar tersebut. Beliau ke UK untuk menghadiri proses kehakiman. Peguam Daily Mirror telah membuka semua laporan berita dan kenyataan Ayah Chik yang pernah keluar di media untuk mengaitkan beliau dengan tuduhan pengganas. Setelah perbicaraan berlaku, ringkas cerita akhirnya Daily Mirror memohon maaf secara terbuka melalui akhbarnya serta membayar pampasan kepada Ayah Chik. Nama beliau berjaya dibersihkan. Namun ramai pemimpin gerakan Islam lain berjaya diperangkap. Antaranya adalah Syeikh Majid Zindani pemimpin arti Islah di Yaman. Kini beliau tinggal di Saudi dan tidak boleh ke mana-mana lagi. Kalau keluar, pasti Amerika akan tuntut dirinya atas tuduhan lama itu.

"Lepas kes itu, Rashid Ghanousi (pemimpin parti an-Nahda Tunisia) kata, sepatutnya Ayah Chik pergi marah Daily Mirror sebab tulis orang no.2. Lain kali tulislah no.1!" Selorohnya diiringi dekahan tawa. Orang tengah cemas boleh lagi dia buat kelakar.

Ayah Chik ada baca berita mengenai Syeikh Ismael Haniyyeh, Perdana Menteri Palestin wilayah Gaza. Baru-baru ini Saudi jemput beliau mengerjakan umrah (atau haji;syak perawi). Tetapi selepas itu beliau disekat dari pulang ke Gaza. Saudi beri pilihan samada dia mahu tinggal di sana ataupun Qatar sahaja.

"Tapi kalau dia dah boleh balik Palestin sekarang, tak tahulah" Ujar Ayah Chik menutup kes.



BHG 2 - ADA APA DENGAN KESATUAN ULAMA?

Asyik berbual, tiba-tiba telefonnya berdering. Kod negara +97 something. Sebelum jawab Ayah Chik tanya dulu negara mana. "Ke Yaman?" telahnya. Mungkin juga, sebab baru-baru ini menantunya ada ke sana untuk misi kemanusiaan.


Tapi saya kata bukan, sebab Yaman kalau tak silap +967. Saya biasa call Yaman semasa di Syria dahulu.

"Qatar kot." Teka saya perlahan. Boleh jadi datang dari wakil Kesatuan Ulama (KUIS).

Abang Din (Ustaz Zaharuddin) check melalui handphonennya. Ya, memang Qatar.

Panggilan itu rupanya datang dari Dr Ali Qurrah Daghi, Setiausaha Agung KUIS. Beliau minta Ayah Chik tengok emel, sebab sekretariatnya ada menghantar permohonan untuk Ayah Chik tulis beberapa artikel. Ayah Chik terus bersetuju. Panjang juga sembangnya. Bukan saya curi-curi dengar, memang suara Ayah Chik dah macam speaker. Satu rumah boleh dengar.



Rupanya hubungan Ayah Chik dengan KUIS masih baik. Ingatkan lepas polemik ke Iran baru-baru ini, dah tegang. Nampaknya minda saya sudah dipengaruhi mainan persepsi media. Bahaya betul penangan zaman fitnah ini.

"Syeikh-syeikh KUIS tak ada apa pun. Tapi 'geng-geng' ni yang ramai cucuh belakang. Sampai tekan suruh pecat. Kalau pecat, pecatlah." Ayah Chik seolah dapat membaca fikiran saya. Balas Abang Din, kalau Ayah letak jawatan, bersorak sakanlah geng-geng ni. Memang mereka dah tunggu lama nak masuk sebenarnya. Pandai-pandailah teka geng mana tu.

Pada hemat Abang Din, walaupun KUIS hanya sebuah NGO antara NGO-NGO ulama antarabangsa yang lain, namun ia memiliki pengaruh yang tersendiri. Bukan semata-mata faktor Dr Qardawi, tetapi kerana ia menghimpunkan Ulama dari berbagai mazhab, arah dan kumpulan. Dijemput semua tokoh-tokoh agama berpengaruh dunia Islam untuk menyertai. Jadi di mata pemerhati golongan akademik, politician dan elitis, ia adalah NGO yang disegani.

"KUIS NGO biasa saja, banyak lagi kesatuan ulama seperti itu." Ayah Chik ulang lagi benda sama sejak berita beliau dilantik sebagai Naib Presiden Kesatuan itu tidak lama dahulu. Memang beliau dari dulu cuba menanamkan sikap usah membesarkan sangat KUIS itu. Tapi kami sering lihat lain, seolah-olah ia menaungi PAS pula dan perlu ikut setiap telunjuknya.

Soalan cepumas yang patut ditanya kepada semua, "sejak bila kita mengenali KUIS?"

Sebelum itu Ayah Chik pernah kongsi beberapa isu dalam KUIS. Antara yang paling dikesali adalah kata-kata salah seorang anggota KUIS: "Kena ingat, KUIS ni boleh bergerak atas bantuan dana kerajaan Qatar."

Ayah Chik paling pantang bila dengar bab duit sebegini. Beliau terus menegur, tak sepatutnya kita terikat dengan polisi Qatar walaupun dia banyak bantu kita. KUIS tak boleh terpengaruh dengan mana-mana dasar luar yang ada kepentingan tersendiri. Kena berani dan yakin tuhan akan tolong kita.

Cukup tegas Ayah Chik bab makan budi orang ini. Sebetulnya inilah sikap para ulama dan tokoh Islam sejak dahulu. Integriti mereka cukup tinggi. Kisah Nabi Sulaiman, Saidina Umar, Hasan al-Basri, Ibn Taimiah perlu diambil iktibar.

Rasanya sikap Ayah Chik ini sudah menjawab soalan yang pernah diajukan kepada saya oleh seorang ustaz beberapa bulan dahulu. "Bolehkah ambil duit Umno untuk lawan DAP?"

Memang ada sesetengah ahli yang terlajak faham BPMS, sampai semua jadi halal.

Maaf kalau ada yang berfatwa boleh demi matlamat. Pemikiran ini tidak ubah seperti minda machiavelli golongan yang sudah tersingkir dari PAS; matlamat menghalalkan cara.

Maaf juga kalau ada yang berfatwa demi maslahah. Kena timbang juga antara maslahah dan mafsadahnya, mana lagi besar. Bagi saya, mafsadahnya lebih besar lebih-lebih lagi zaman fitnah ini.

Maaf sekali lagi kalau ada yang berfatwa boleh kerana darurah. Sejauh mana terdesaknya kita untuk ambil?

Saya berasa cukup lega dipimpin oleh Presiden yang memiliki sikap tegas sebegini. Namun dalam yang sama timbul perasaan khuatir, apakah ada jaminan presiden akan datang memiliki sikap yang serupa?

Perlu ada pendirian yang jelas berhubung batas-batas ini. Bahagian tarbiyyah perlu masukkan ini dalam syllabusnya. Atau setidaknya, Majlis Syura yang berfatwa segera. Takut-takut berlaku tanpa sedar di mana-mana negeri, parlimen atau dun menjelang pilihanraya yang hampir tiba nanti.

Ahli semakin ramai. Politik pula semakin rencam. Jangan sampai PAS jatuh macam Nazi dahulu. Bila terlalu banyak negara yang ditawan, tak mampu urus lalu jatuh dengan mudah.

Semoga PAS terus terpelihara dari anasir yang merosakkan.


BHG 3 - IRHABIKAH ISLAM?

Ayah Chik buka emel, banyak juga tajuk yang KUIS minta tulis. Mungkin sepuluh. Kebanyakan berkait isu kemasyarakatan. Sekilas pandang, ada satu tajuk yang agak menarik, "Islam dan kaitannya dengan Irhabi." Bagus kalau Ayah Chik fokus tajuk ni. Memang ini benda yang selalu disebut dalam kuliah atau ceramahnya.


Usai Solat Maghrib, kami sambung sembang sambil Ayah Chik bersiap ke pejabat agung. Dia buka begnya dan keluarkan sebuah kertas bertulis sebuah artikel dari sasapost.com. Tulisan tersebut melaporkan kenyataan Condoleeza Rice di persidangan Nato tahun 2014, berkenaan projek pemetaan semula Asia Tengah. Selain suruh buka kembali web tersebut, beliau turut menyuruh untuk baca juga laporan Rand Corporation tahun 2012 (kalau tak silap).

Kemudian dia buka pula Laptop dan tunjuk lakaran peta cadangan untuk projek tersebut. Memang ngeri, negara-negara umat Islam menjadi semakin banyak. Dipecahkan mengikut fahaman dan kaum. Saudi akan pecah tiga, Yaman pecah tiga, Iraq pecah tiga, Turki pecah tiga, Iran pecah tiga, dan macam-macam lagi. Makkah dan Madinah akan jadi negara berkecuali yang ditadbir secara bersama oleh negara-negara sekeliling.

Ngeri. Kalaulah ia benar-benar berlaku, dan nampaknya memang sedang menuju ke arah itu, Asia Tengah tidak akan aman lagi. Pemecahan itu akan menyebabkan perseteruan berterusan, asobiyyah kaum dan mazhab semakin memuncak dan umat akan terus berpecah.

"Ustaz-ustaz ni baca ke tak semua berita ni?" Getusnya bernada kesal. Saya diam sahaja. Itulah yang seringkali dipersoalkan. Beliau memang dari dulu konsisten menegur sikap sebahagian agamawan dan pendakwah samada arab atau non-arab yang hanya tahu memainkan sentimen mazhab dan puak sahaja. Termasuklah ustaz-ustaz dalam PAS sendiri.

Sebenarnya, projek pemetaan semula tidak hanya difokuskan di Timur Tengah bahkan seluruh dunia. Rantau kita ini tidak terkecuali. Dari sebuah kajian, isu Rohingya di Myanmar bakal dijadikan sumbu pelita untuk dibakar, dan bakal merebak ke seluruh rantau. Isu yang bakal dimainkan adalah pertembungan agama Islam-Budhha.

Bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam mengurus geo-politik (bukan sekadar pengkaji), pasti mereka akan merasai bahangnya. Mungkin kalau Ayah Chik sahaja yang sebut, sebahagian orang anggap ia tidak berautoriti. Tetapi bekas Setiausaha Agung ASEAN sendiri, Surin Pitsuwan menyatakan isu ini akan menjejaskan kestabilan politik serantau jika tidak ditangani.

Dikhuatiri puak pelampau IS akan masuk campur menentang ekstremis Buddha. Buddha akan bertindak balas. Media akan memainkan sentimen agama sehingga rakyat negara sekitar turut terasa. Sedarkah kita dua penganut agama terbesar di Malaysia, Thailand, Indonesia, Kemboja, dan Filipina adalah Islam dan Budhha? Mahukah kita rasa apa yang Timur Tengah sedang hadapi?

Tapi yang orang kita nampak, hanya isu PAS sepentas dengan orang Umno. Pendeknya capaian.

Tengah-tengah Abang Din cuba susun tajuk-tajuk yang KUIS beri ke dalam laptopnya, beliau bersuara "Tulis tajuk Irhabi tu molek juga."

"Kena ulas irhabi melalui al-Quran. Dalam Islam ada irhabi ni. Cuma orang kita ambil pengertian irhabi melalui pemahaman barat. Kena tengok balik dalam ayat turhibuna bihi aduwwallah tu." Sambung beliau lagi. Perkataan irhabi kini banyak diertikan dengan makna keganasan. Sedangkan irhabi dalam ayat 60 Surah al-Anfal yang Ayah Chik sebut itu memberi makna menggerunkan. Tafsirannya juga lain.

"Hmmm.. kita belek tulisan-tulisan yang dah ada dulu, lepas tu baiki sikit-sikit sahaja." Sambung dia lagi. Saya mengiyakan sahaja.

"Tulis panjang-panjang nanti, boleh buat buku satu lagi." Ujarnya lagi. Setuju sangat Ayah Chik. Tulislah cepat. Saya akan jadi orang pertama memiliki buku itu!

Intipati Syarahan Perdana Asia Barat yang Bergolak, Ke Mana Kita.?




1. Pada Sabtu lepas ( 7/ 1 / 2017), Tuan Guru Presiden PAS telah menyampaikan Syarahan Perdana di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Ucapan beliau selama 1 jam diikuti dengan sesi soal jawab sebanyak 15 soalan.
Berikut adalah intipati bahagian Muqaddimah syarahan tersebut yang begitu penting untuk kita dalami terlebih dahulu;

2. Tuan Guru memulakan ucapan dengan membaca Al Quran, ayat 102-105 Surah Ali Imran yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu nkepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan Islam sebenarnya.
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah akan nikmat Allah berikan kepada kamu, dahulu kamu bermusuh antara satu sama lain, lalu Allah menjinakkan hati-hati kamu, lalu kamu menjadi bersaudara; dan dahulunya berada di tepi gaung api neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dengan nikmat Islam.
Begitulah Allah menyatakan ayat-ayatNya supaya kamu mengambil petunjuk.
Dan hendaklah ada di kalangan kamu ummah yang berdakwah mengajak kepada kebajikan Islam yang menyeluruh, mengajak kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran; merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan.
Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang berpecah-belah dan bertelingkah antara satu sama lain setelah datang keterangan daripada Allah. Mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang besar dan dahsyat."

3. Perbincangan mengenai Asia Barat memerlukan terlebih dahulu kita mengambil perhatian terhadap:

A) Sejarah Perkembangan Politik Islam setelah kewafatan Rasulullah S.A.W
B) Perkembangan Ilmu yang melahirkan Mazhab dan Kumpulan yang berbeza dalam bidang Akidah, Feqah dan Tasawwuf
C) Perkembangan Politik Antarabangsa dan Tempatan terkini

4. Bahagian A:Sejarah Perkembangan Politik Islam
Para Sahabat berkhilaf untuk memilih siapa pengganti memimpin ummat setelah wafatnya Rasulullah S.A.W kerana tidak ada nas yang sahih.
Golongan Ansar mencalonkan pemimpin mereka, Saad bin Ubadah.
Kalangan Ahlil Bait mencalonkan Saidina Ali bin Abi Tholib.
Kekecohan berlaku di tempat perhimpunan di Tsaqifah Bani Saidah, (sekarang ia menjadi kompleks percetakan Al Quran)
Lalu, Saidina Abu Bakar As-Siddiq berjaya menenangkan keadaan, menyampaikan ucapan antaranya menyebut pemimpin daripada Quraisy.
Ibnu Khaldun dalam Kitab Al Muqaddimah menegaskan bahawa maksud Quraisy ialah kaum yang paling berpengaruh, besar kedudukan dalam masyarakat, dan mempunyai kehebatan.

Akhirnya, kesemua mereka bersepakat memilih Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah dan mereka menjadi wazir (Menteri) bagi membantu Khalifah.
Adapun pendapat yang mengatakan Saidina Ali bertaqiyyah dalam melantik Khalifah pertama ini adalah tidak tepat dan bohong kerana Saidina Ali merupakan seorang yang gagah dan berani.

Selepas pemerintahan Khalifah Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umar Al Khattab pula dilantik sebagai Khalifah Kedua dan diikuti oleh Saidina Uthman bin Affan sebagai Khalifah Ketiga.
Ketika pemerintahan Saidina Uthman, berlakunya fitnah bencana yang pertama.
Walaupun ada kitab yang menulis kononnya Saidina Uthman adalah pemimpin yang lemah, hakikatnya adalah ummat yang lemah.
Ramai yang baru memeluk Islam setelah kejatuhan Kerajaan Parsi dan Rom menyebabkan lemahnya amanah dan iman.
Ini keadaan yang dihadapi oleh Saidina Uthman.

Tidak wajar menuduh Saidina Uthman pemimpin yang lemah, sedangkan Nabi Muhammad S.A.W pernah menyebut "adakah aku tidak malu kepada orang yang malaikat malu kepadanya..?"
Ketika Perang Tabuk, Saidina Uthman adalah orang yang paling banyak menderma kerana dia kaya. Nabi Muhammad S.A.W berdoa daripada waktu Isyak sehingga Subuh, baginda memohon kepada Allah agar meredhai Saidina Uthman .
Beliau adalah menantu kepada Rasulluh S.A.W melalui perkahwinan dengan 2 orang puteri Nabi. Jelas menunjukkan penghormatan baginda kepada Saidina Uthman.

Pada zamannya, diadakan 2 kali Azan waktu Solat Jumaat kerana masih tidak ramai yang hadir ketika azan pertama.
Langkah beliau seperti dalam hal pemberian 'atho' menimbulkan tidak puas hati golongan tertentu.
Atho' adalah imbuhan yang diberikan kepada orang tua, miskin dan pegawai kerajaan yang bersara termasuk orang bukan Islam yang tidak ada pendapatan.
Jumlah rakyat semakin ramai menyebabkan tidak seimbang dalam hal pengurusan dan kewangan.
Timbullah pemberontakan terhadap Saidina Uthman.
Para pemuda antaranya Saidina Hassan, Saidina Hussein, Abdullah bin Zubair datang ke rumah Saidina Uthman bagi menyatakan kesediaan mereka untuk menentang para pemberontak bersenjata. Namun, Saidina Uthman melarang mereka bertindak sedemikian kerana mahukan masalah ini diselesaikan secara damai.
Akhirnya, Saidina Uthman telah mati dibunuh syahid oleh kelompok pemberontak.

Pada ketika itu,para sahabat telah ramai yang meninggal dunia. Yang masih ada antaranya ialah Zubair, Talhah, Saad, Said, dan Saidina Ali. Lalu, mereka pun membaiahkan Saidina Ali sebagai Khalifah Keempat. Saidina Ali tidak mahu menerima jawatan tersebut, setelah didesak barulah beliau menerima pelantikan tersebut.

Negara masih dalam keadaan huru-hara, rakyat haru-biru, ada kalangan yang tidak berpuas hati terhadap Saidina Ali yang masih belum bertindak terhadap pembunuh Saidina Uthman khususnya keluarga Bani Umayyah.
Berlaku pula Perang Jamal dan Perang Siffin yang termasuk dalam kalangan Sahabat.

Dalam Perang Jamal, ia melibatkan Zubair, Talhah dan Saiyidatina Aisyah menentang Saidina Ali. Keadaan sangat sulit, mereka adalah orang yang dijamin Syurga, bagaimana Saidina Ali mahu berhadapan dengan mereka.?
Saidina Ali berjaya memujuk Zubair dan Talhah berundur, namun mereka berdua dibunuh oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab.
Saiyidatina Aisyah pula ditawan, dibebaskan dan dihantar semula ke Madinah.

Berlaku pula Perang Siffin, Muawiyah dan pengikutnya yang terdiri daripada keluarga Saidina Uthman telah menentang Saidina Ali.
Tuan Guru Presiden PAS menegaskan dalam hal ini, kita jangan teragak-agak untuk menyatakan Saidina Ali berada di pihak yang betul.
Ada hadis yang banyak antaranya Ammar Bin Yasir dibunuh oleh kumpulan yang derhaka. Ammar Bin Yasir berada di pihak yang menyebelahi Saidina Ali. Ini hadis sahih yang diriwat oleh Bukhari dan Muslim.
Oleh sebab itu, Saidina Ali dimasukkan sebagai Khulafa' Ar Rasyidin yang diiktiraf oleh semua termasuk Ahli Sunnah wal Jamaah, Syiah, dan Khawarij yang awal.

Selepas Saidina Ali dibunuh oleh kelompok Khawarij, orang-orang di Hijjaz telah membaiahkan Saidina Hassan sebagai Khalifah seterusnya. Namun, beliau tidak senang melihatkan kekacauan yang berlaku lalu meletakkan jawatan.
Selepas itu, tertubuhnya Kerajaan Bani Umayyah yang naik secara darurat, bukannya melalui Baiah Ihtiyari.
Dalam pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah, hanya Saidina Umar Abdul Aziz sahaja yang naik menjadi Khalifah melalui persetujuan orang ramai.

Akhirnya, muncullah selepas itu pelbagai mazhab;
a) kumpulan yang menyokong pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah
b) kumpulan yang menyokong Saidina Ali termasuklah antaranya Ahlil Sunnah, Syiah yang fanatik kepada Saidina Ali dan juga Ahlil Badar seramai lebih 100 orang

5. Bahagian B: Perkembangan Ilmu
Pusat Ilmu ialah di Mekah, Madinah, Taif, Yaman, Damsyik, Iraq, Basrah, dan Kufah.
Di sinilah tempat berkumpulnya para Sahabat menyebarkan ilmu.
Akibat daripada tekanan politik pada zaman pemerintahan Umayyah dan Abbasiyyah, ada kalangan mereka yang jauh berhijrah dari pusat ilmu ini.
Dalam Ahlil Sunnah Wal Jamaah adanya pelbagai mazhab dalam hal Akidah, Feqah dan Tasawwuf.
Begitu juga dalam Syiah dan Khawarij, terdapat pelbagai mazhab di dalamnya.

Kitab yang paling terperinci mengenai kepelbagaian mazhab ini ialah Maqalatul Islamiyyin karangan Imam Mazhab Ahlil Sunnah Wal Jamaah, Abu Hassan Assyaari, zuriat daripada Sahabat Abu Musa Assyaari. Kitab ini lebih terperinci berbanding Kitab Al Milal wal Nihal karangan al-Shahrastani, Kitab Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa' wa al-Nihal karangan Ibnu Hazmin.
Hal ini kerana Abu Hassan Assyaari tinggal di Iraq, tempat lahirnya mazhab feqah dan politik Islam.

Asalnya, kumpulan Syiah dan Khawarij termasuk dalam Mazhab Politik Ahlil Sunnah.
Kemudian, tercetusnya kepelbagaian Mazhab Feqah dan Mazhab Akidah yang menyebabkan ia bercampur-aduk dengan Mazhab Politik.
Dalam Mazhab Akidah Ahlil Sunnah ada 3 pecahan;
a) Salafi
b) As Syairah
c) Maturidiah

Dalam Mazhab Fekah Ahlil Sunnah ada 4 pecahan:
a) Hanafi
b) Maliki
c) Syafie
d) Hambali

Syiah pula ada 3 kumpulan yang besar:
a) Ghulah-pelampau Syiah ada 15 mazhab di dalamnya
b) Imamiyyah- ada 24 mazhab di dalamnya
c) Zaidiyyah- ada 6 mazhab di dalamnya

Khawarij pula ada 2 kumpulan:
a) Ibadi- ada perbahasan, ada yang mengatakan mereka masih Ahlil Sunnah, mereka keluar kerana sebab politik. Mereka ini pengikut Abdullah bin Ibad, ramai berada di Musykat, Oman.
Ada sejarahwan mengatakan mereka ini golongan Tabiin, Tabiq Tabiin. Mereka tidak berbaiah kepada Kerajaan Bani Umayyah dan Abbasiyyah.
Mereka terpecah pula kepada 4 mazhab di dalamnya.

b) Ajaridah- ada 15 mazhab di dalamnya

6. Seterusnya, Tuan Guru Presiden menasihatkan agar kita tidak begitu mudah menyesatkan antara satu sama lain. Ada ulamak yang menghuraikan hadis berkenaan ummat Nabi terpecah kepada 73 puak, hanya 1 sahaja yang masuk syurga. Nabi menggunakan kalimah "ummatnya" yang terpecah bermakna Nabi menganggap mereka itu masih ummat Islam.

Tokoh Salafi yang keras pendiriannya, Syeikh Nashiruddin Al Albani mengatakan tidak boleh mengkufurkan Ahlil Kiblah yang masih menerima Rukun Islam dan Rukun Iman yang asas kecuali bagi yang menafikan perkara nas yang nyata dalam Al Quran, Hadis dan Ijmak.
Imam Malik ada berkata tidak boleh dihukum individu itu sekiranya ada 1 keraguan walaupun sudah ada 99 hujjah.

Majmak Al Fiqh di bawah OIC dalam Sidang di Jordan pada tahun 2006 telah mengisytiharkan 8 Mazhab yang dikira termasuk dalam ummat Islam;
a) Hanafi
b) Maliki
c) Syafie
d) Hambali
e) Zahiri
f) Imamiyyah
g) Zaidiyyah
h) Ibadi

Keputusan ini turut disahkan dalam Persidangan OIC di Mekah.
Namun, apabila berlaku kekacauan sekarang habis dilupai kesemua resolusi ini.
Majma' al-Buhut al-Islamiyyah, institusi di bawah Universiti Al Azhar Mesir pernah menyenaraikan 8 mazhab ini di dalam Ensiklopedianya. Beberapa tokoh ulamak asy-Syaukani dan as-Sanani juga menyebut mazhab ini.
Begitu juga Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan menyebut dan menaqolkan pendapat mereka di dalam kitab beliau.

Namun, keadaan yang berlaku hari ini telah dipengaruhi oleh suasana politik antarabangsa........



1. Bahagian C: Perkembangan Politik Antarabangsa
Tuan Guru Presiden memulakan ulasan isu Asia Barat ini dengan merujuk kepada kata-kata Norman Dodd, tokoh kewangan yang disiarkan dalam Wall Street Journal pada tahun 1982 bahawa "Amerika sanggup mencetuskan peperangan demi ekonomi sebagaimana Eropah menjana ekonomi melalui Perang Dunia Pertama dan Kedua."

Seterusnya, Tuan Guru Presiden PAS merujuk kepada sebuah artikel tulisan Leftenan Kolonel Ralph Peters, yang diterbitkan dalam Armed Forces Journal pada Jun 2006 bahawa badan penyelidik tentera Amerika sedang menggubal peta baru dunia.
Peta ini dibuat bagi menggantikan peta lama yang dibuat melalui Perjanjian Sykes-Picot dan Perjanjian Laussane.
Perjanjian di Lausanne, Switzerland dahulunya dibuat yang melibatkan tokoh Barat dan juga Kamal Attartuk yang membuat keputusan membubarkan Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah pada 1916 (kini sudah genap 100 tahun).

Selepas itu, Syarif Hussain, Raja Hijjaz (kawasan merangkumi Mekah,Madinah dan Taif) mula mencetuskan pemberontakan dan perang terhadap pemerintahan Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah. Dia mendapat sokongan British melalui Pesuruhjaya Tinggi British di Mesir, Sir Henry McMahon yang terbukti melalui surat perutusan antara mereka berdua.

Pada masa yang sama, di Riyadh pula Abdul Aziz bin Saud berjaya menggulingkan Ibnu Rasyid, pemerintah di bawah Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah.
Abdul Aziz bin Saud menubuhkan kerajaan baru dengan dokongan Thomas Edward Lawrence (Lawrence of Arabia). Ini sejarah yang perlu diketahui.

Kemudian, berlakulah Perang Dunia Pertama yang melibatkan Turki dan Jerman menentang Rusia dan Eropah.
Di atas semangat kebangsaan Arab, Revolusi Agung Arab, mereka menentang Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah.
Tanpa dinafikan memang wujud kezaliman Kerajaan Uthmaniyyah, tetapi adakah boleh kita menjatuhkan Kerajaan Orang Islam dengan memohon bantuan daripada orang bukan Islam.?

Tuan Guru Presiden PAS membaca firman Allah dalam Surah Al Maidah ayat 51 yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali (pendukung,pembimbing,kawan) kamu. Mereka bersahabat antara satu sama lain walaupun berbeza agama. Barangsiapa yang berwalikan mereka akan termasuk dalam kalangan mereka.
Sesungguhnya Allah tidak mengasihi kaum yang zalim."

Akibat berwalak kepada Barat, jatuhlah Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah maka berlakulah peta negeri Arab pada hari ini mengikut Perjanjian Sykes-Picot. Sykes ialah nama diplomat British manakala Picot ialah nama diplomat Perancis.
Apabila Lenin mengalahkan Tsar di Rusia, terdapat dokumen menunjukkan Menteri Luar Rusia juga terlibat dalam Perjanjian Sykes-Picot ini.
Peta negara pada hari ini dibuat berpandukan perjanjian ini.
Syam menjadi Lubnan dan Syria di bawah naungan Perancis.
Iraq, Arab Saudi di bawah naungan Barat.
Negara baru iaitu Jordan ditubuhkan.
Perjanjian Balfour pula dibuat bagi menubuhkan negara Israel.
Pengaruh Perjanjian Sykes-Picot ini melarat sehingga ke Asia Tenggara.
Berlakunya pembahagian seperti Malaysia di bawah British, Indonesia di bawah Belanda, Kemboja di bawah Perancis, Filipina di bawah Sepanyol.

Badan penyelidik Tentera Amerika mencadangkan agar peta berpandukan Perjanjian Sykes-Picot ini perlu diubah.
Pada tahun 2006, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice telah mendedahkan dalam satu kenyataan di Tel Aviv, Israel bahawa adanya Agenda Asia Barat yang baru (“New Middle East") untuk memecahkan semula negara di Asia Barat termasuklah Asia Tengah, Turki, Afghanistan, Pakistan dan mungkin juga Asia Tenggara ada termasuk juga.

Peta baru ini adalah seperti berikut;

a) Algeria akan dipecah kepada dua- bangsa Arab dan Barbar
b) Libya akan dipecah kepada tiga- ikut zaman Rom dulu
c) Mesir akan dipecah kepada tiga- bangsa Arab, Selatan Mesir dan Kristian Koptik
d) Sudan akan dipecah kepada dua- bangsa Afrika dan Arab
e) Arab Saudi akan dipecah kepada tiga- Riyadh, Kota Suci Mekah & Madinah, dan Syiah Ismailiyyah di Selatan Saudi yang bergabung dengan Syiah Houthi Yaman.
f) Yaman akan dipecah kepada dua- Yaman Utara dan Yaman Selatan
g) Irag dipecah kepada empat- Syiah, Sunni, Kurdish dan Torkuman
h) Syria dipecah kepada dua- Syiah Alawi dan Sunni
i) Lubnan dipecah kepada tiga- Sunni, Syiah dan Kristian
j) Turki akan dipecah kepada dua- Bangsa Turki dan Kurdish
k) Iran akan dipecah kepada dua- Bangsa Parsi dan Pashtun

Inilah peta baru yang dirangka oleh mereka dengan nama peta berdarah (Blood Borders) yang memerlukan pertumpahan darah berlaku seperti Perang Dunia Pertama dahulu atas nama semangat perkauman dan mazhab.

Beberapa tokoh Amerika termasuklah Joe Biden, Naib Presiden US membuat kenyataan bahawa Amerika sedia menolong Sunni bagi melawan Syiah.
Dimomokkan Iran adalah ancaman, bukannya Israel.
Iran dikatakan akan menubuhkan Negara Syiah yang bermula daripada Bahrain sehingga Yaman.
Tuan Guru Presiden PAS berpandangan adalah bodoh sekiranya Iran mahu melakukan sedemikian kerana penganut Syiah hanyalah 10% sahaja daripada 1.3 billion ummat Islam. Ia bagaikan seperti membunuh diri mereka sendiri.

Namun, malangnya orang Arab sendiri yang menjadi bodoh kerana menari mengikut gendang yang dipalu oleh kuasa Barat.
Agenda pertama mereka, memecahkan Lubnan.
Krisis Perang Lubnan sudah berlaku dahulu bagi menjayakan agenda mereka memecahkan negara tersebut kepada Sunni, Syiah dan Kristian.

Almarhum Ustaz Fathi Yakan, sudah tahu mengenai agenda Barat ini. Beliau mengambil langkah bertahalluf dengan kumpulan Syiah di Selatan Lubnan. Malangnya, beberapa tokoh ikhwan terikut dengan agenda Barat sehingga menyebabkan Almarhum Ustaz Fathi Yakan keluar daripada Ikhwan lalu menubuhkan Jabhat al-Amal al-Islami.
3 bulan sebelum Almarhum Ustaz Fathi Yakan meninggal dunia, Tuan Guru Presiden PAS sempat bertemu dengan beliau.
Ramai dalam kalangan kita gagal membaca agenda Barat ini.
Mereka gagal dalam usaha memecahkan Lubnan.

Seterusnya, Iraq dan Syria menjadi sasaran Barat.
Selepas Perang Teluk Pertama, Iraq dipecahkan kepada kelompok Sunni, Syiah dan Kurdistan.
Hari ini, orang Sunni Iraq baru bising atas campurtangan Iran tetapi mereka tidak sedar yang mereka sendiri melakar peta tersebut yang diagendakan oleh Barat.
Demografi Iraq jikalau dicampurkan kesemua Arab, Torkuman dan Kurdish, maka Sunni boleh menjadi majoriti. Namun, orang Arab tidak boleh terima bangsa Kurdish maka Kurdish terasing di utara Iraq dengan pemerintahan sendiri.
Maka, apabila Arab Iraq bergabung, Syiah yang dapat menjadi majoriti. Mengapa mahu bising atas kegagalan mereka sendiri.?

2. Sememangnya tidak dinafikan adanya kelemahan dan kezaliman pemerintah, malangnya Barat menentukan sikap melalui apa yang diatur dengan nama Arab Spring yang bermula pada tahun 2010.
Sekiranya diperhatikan, negara yang menjadi sasaran dibezakan mengikut antara negara yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan Perjanjian Madrid-Oslo.

Perjanjian ini dimeteraikan bagi menyelesaikan masalah Palestin dan Yahudi-Israel yang ditaja oleh Barat dengan kaedah kewujudan 2 negara di Palestin iaitu satu untuk Arab dan satu untuk Yahudi.
Ini akan membuatkan orang Arab akan mengiktiraf kewujudan negara Israel yang merampas tanah Palestin pada tahun 1948.
Banyak pemimpin negara Arab bersetuju dengan perjanjian ini kerana mungkin sebagai tanda mengenang jasa kepada Barat yang memberikan kuasa kepada mereka dahulu.
Kaedah 2 State Solution ini diterima oleh PLO Palestin, tetapi ditolak oleh kesemua gerakan Islam termasuk Hamas,Tanzim Jihad, PAS dan Ikhwanul Muslimin. PAS tetap menganggap Israel adalah negara yang haram.
Malangnya, banyak negara Arab dan negara Islam menerima kaedah 2 State Solution ini termasuklah Malaysia.

Negara yang menolaknya pula ialah Algeria, Libya, Iraq, Yaman, Sudan dan Syria.
Arab Spring dicetuskan bagi mewujudkan demokrasi di negara Arab. Malangnya, mereka hanya menjulang demokrasi di negara yang menolak Perjanjian Madrid-Oslo tetapi pada masa sama mereka menerima diktator di negara yang bersetuju Perjanjian Madrid-Oslo.
Ini mesti kita baca kesemuanya...

3. Pada awal tadi, Tuan Guru Presiden sudah menyebut bahawa Amerika sanggup berperang demi ekonomi. Kepentingan ekonomi adalah pada sumber tenaga petroleum yang banyak di negara Arab termasuk Sudan, Libya, dan juga negeri Islam yang dijajah Soviet dahulu di Asia Tengah.
Demi menguasai kawasan yang kaya dengan sumber ekonomi ini, mereka perlu menguasai laluan dunia iaitu Selat Gibraltar, Babul Mandab (pintu Laut Merah), Selat Hormuz, dan termasuk juga Selat Melaka dan Laut China Selatan.

4. Mereka menimbulkan kekacauan di negeri ini termasuk Syria, negara yang bersempadan dengan Israel. Tanpa dinafikan, sememangnya Basyar Assad ini zalim.
Hafiz Assad sama Parti Baath dengan Presiden Iraq, Saddam Hussain tetapi mereka pernah berkrisis.
Dalam Perang Teluk Pertama, Barat menggunakan Saddam Hussain dan Iraq bagi menyerang Iran yang baru sahaja mengalami Revolusi pada tahun 1980.
Semua negara Arab yang bersetuju dengan Perjanjian Madrid-Oslo telah bersama dengan Iraq bagi menyerang Iran.
PAS pada ketika itu bersama Iran. Ramai rakan Arab yang menuduh PAS sudah menjadi Syiah kerana menyokong Iran.
PAS membaca politik, bukan sahaja Kitab.
Syria pada ketika itu tidak bersama dengan Iraq dalam menentang Iran.
Lalu, Syria dijadikan pengkalan bagi kumpulan Palestin yang menolak Perjanjian Madrid-Oslo iaitu Hamas dan Tanzim Jihad.
Dalam Perang Lubnan, persenjataan Israel gagal menghapuskan Hamas, Hizbullah dan Tanzim Jihad.
Israel anggap pengkalan penentangnya yang paling dekat ialah di Syria berbanding yang jauh di Yaman dan Sudan.

5. Tuan Guru Presiden PAS mengingatkan kita agar tidak menjadi Melayu yang mudah lupa. Israel dulu pernah menyerang Pelabuhan Sudan yang dianggap juga pengkalan penentangnya.
Maka, selepas Iraq kacau-bilau, Syria pula dijadikan sasaran kerana ia pengkalan hadapan bagi menghadapi Israel.
Mereka tidak mempedulikan siapa Basyar Assad, yang penting ialah menghapuskan pengkalan hadapan ini.

6. Lebih kurang 6 tahun lalu termasuk media Al Jazeera yang pro-Barat mendedahkan beberapa negara Arab terlibat dalam menghantar Kumpulan Al Qaeda ke Syria bagi mencetuskan kekacauan atas nama menentang kezaliman Basyar Assad.
Almarhum Necmetin Erbakan, pernah ditemui oleh pemimpin gerakan Islam untuk mengisytiharkan revolusi di Syria, namun Almarhum melarangnya kerana nanti akan termasuk dalam strategi Barat musuh Islam.

Tetapi, mereka tetap memilih cara revolusi khususnya ketika Arab Spring yang telah berjaya menjatuhkan Ben Ali, Hosni Mubarak dan Ali Abdullah Salleh, lalu dianggap Basyar Assad boleh dijatuhkan dengan kaedah yang serupa.
Kekacauan di Syria lebih ganas atas nama menentang kezaliman. Ianya serupa seperti Perang Dunia Pertama dahulu atas nama menentang kezaliman Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah.
Sedangkan di belakang kita adanya penyakit yang lagi besar daripada kezaliman itu.

7. Sekiranya kita lihat, kawasan yang dikuasai oleh DAESH di Iraq dan Syria adalah kawasan yang penuh dengan sumber minyak dan gas. Wakil Syria di PBB mendedahkan adanya negara Arab yang membeli 60,000 Toyota Hilux untuk dibekalkan kepada DAESH.
Persenjataan kepada mereka ini dibekalkan melalui Turki yang adanya Pengkalan NATO.
Kita perlu sedar bahawa Israel merupakan tonggak yang mempertahankan kepentingan Barat.
Minyak diniagakan oleh kumpulan DAESH yang menguasai kawasan tersebut.
Bukankah ini adanya "batu di sebalik udang", bukan lagi udang di sebalik batu.?

8. Tuan Guru Presiden PAS mengingatkan agar kita faham percaturan Barat ini.
Ianya bukan masalah kaum ataupun mazhab.
Kaum dan mazhab dijadikan sumbu untuk menyalakan api yang mempraktikkan peta yang sedang dilakar oleh Barat.
Malangnya, banyak ulamak dan ustaz kita yang tak baca buku dan artikel politik, hanya lebih kepada Facebook dan Kitab sahaja sehingga tidak boleh membuat penilaian atas apa yang berlaku di Asia Barat.

9. Keadaan sangat menyulitkan bagi menyelesaikan masalah ini. Kita tidak tahu apa hikmah di sebaliknya.?
Namun, ada pengamat politik Islam yang mengatakan Allah menjadikan perempuan yang mengandung itu mengeluarkan darah sebelum melahirkan bayi yang segar. Begitulah juga, kebangkitan Islam yang akan berlaku selepas ini. Mereka hanya mampu merancang, Allah menggagalkan perancangan mereka.
Ada hadis Nabi yang menyebut kadang-kadang Allah tolong agama ini melalui orang jahat.
Dalam sejarah Bani Israel, mereka meninggalkan ajaran Kitab Taurat, membunuh para Nabi dan ulamak, Allah menjatuhkan Bani Israel melalui bala tentera yang bukan Islam.

10. Bukan sahaja Asia Barat yang mahu dibahagikan oleh Barat tetapi termasuk juga Asia Tengah (Turkmenistan, Tajikistan, Uzbekistan) kerana mereka menganggap Rusia sudah lemah.
Mereka mahu mengalahkan Rusia dan China dalam kerakusan bagi menguasai politik dunia.
Kapal Terbang MAS yang ditembak jatuh itu menjadi mangsa dalam krisis di Ukraine. Malaysia laksana pelanduk di tengah gajah yang berperang.
Rusia bertindakbalas terhadap Barat yang menggunakan Ukraine bagi menentangnya.
Panglima Tentera NATO memberikan taklimat mengenai Peta Baru ini, orang Turki pun marah.
Oleh sebab itulah, kini adanya gabungan Turki, Iran dan Rusia.
Ini membuatkan adanya perimbangan dalam percaturan politik Asia Barat. Kumpulan yang ditaja oleh Barat mula mengalami kekalahan di Syria.
Namun, berita ada melaporkan Presiden Obama yang akan berundur ini sempat meluluskan bantuan pelancar roket anti-pesawat kepada kumpulan yang ditajanya di Syria.
Hati-hati, kumpulan ini nanti akan kembali ke negara asal mereka dan meneruskan perjuangan tersebut mengikut kehendak mereka.
Ini adalah bencana lagi kepada negara ummat Islam.

11. Akhirnya, Tuan Guru Presiden PAS menyeru agar kita semua sedar dan insaf atas kekalutan yang berlaku ini adalah petanda dunia akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan bencana. Tidak ada jalan lain bagi menyelamatkan kita melainkan kembali kepada Islam sebenar yang bersumberkan Al Quran, Hadis, pandangan Ulamak muktabar yang bebas daripada pengaruh kuasa politik yang tidak bertanggungjawab.
Beliau turut berpesan agar segala maklumat ini boleh disemak secara ilmiah melalui internet media baru untuk meyakinkan dan menambah kesedaran.

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
10 Januari 2017