Kelantan Negeri Gagal Dan Muflis?



Saya membaca kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seperti yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini 8 Februari 2017 yang menyatakan bahawa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis, berikutan ditadbir oleh PAS, sebuah parti yang gagal. Saya sifatkan kenyataan Guan Eng tersebut hanyalah untuk mengalih tumpuan daripada kontroversi campur tangan terhadap fatwa yang berlaku di Pulau Pinang pada hari ini.

Di dalam usaha mengalih perhatian tersebut, Guan Eng menyerang Kelantan. Barangkali pada tanggapannya, dengan menjadikan Kelantan sebagai sasaran, seluruh perhatian ke Pulau Pinang ekoran keceluparannya sendiri akan terhenti seketika. Namun, meletakkan Kelantan sebagai sasaran hanya akan menjadikan Guan Eng sebagai bahan ketawa.

Guan Eng memfintah Kelantan sebagai sebuah negeri yang muflis pada saat Negeri Kelantan berada pada kedudukan ke-3 tertinggi di Malaysia dari sudut pemilikan kediaman iaitu sebanyak 83.9%. Saya mencabar Guan Eng untuk mendatangkan statistik berapakah peratus pemilikan kediaman di Pulau Pinang bersama perbandingan di antara kekuatan ekonomi Bumiputera di negeri yang ‘sangat kaya’ itu. Saya barangkali boleh sedikit membantu Guan Eng mengingatkan beliau terhadap fakta bahawa mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (2014), populasi penduduk Pulau Pinang adalah 1.663 juta orang iaitu Cina (42.2 peratus), Melayu (41.3 peratus), India (9.8 peratus), bangsa-bangsa lain termasuk warga asing (6.7 peratus). Bagaimanapun dari sudut pemilikan tanah, Pejabat Tanah dan Galian pada 2010 telah mengeluarkan statistik bahawa pemilikan tanah oleh kaum Cina di Pulau Pinang mengikut bilangan hak milik adalah sebanyak 64 peratus, manakala Melayu pula hanya 28 peratus dan India sebanyak 8 peratus.

Ini bukan isu perkauman, ini adalah fakta dan timbanglah sendiri mengikut neraca yang sihat dan adil. Tepatkah peratus pemilikan tersebut jika dibandingkan peratus bilangan penduduk? Adalah lebih baik Kelantan yang diktakan muflis ini jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dari sudut menjaga hak pribumi bumiputera dan keadilan untuk rakyat.

Untuk makluman Guan Eng juga, sumber dari Khazanah Research Institute pada tahun 2016 juga menunjukkan Pulau Pinang sebagai negeri ketiga tertinggi dari sudut ketidakmampuan rakyat untuk membeli rumah. Sekalpun gaji bulanan (pertengahan) rakyat Pulau Pinang berada di angka RM4,702.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri tersebut ialah RM295,000.00 berbanding Kelantan yang walaupun gaji bulanan (pertengahan) di negeri ini ialah RM2.716.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri ini hanyalah sekitar RM157,740.00. Ia sekaligus meletakkan Pulau Pinang berada di tangga indeks 5.2 iaiti sangat tidak mampu dimiliki berbanding Kelantan hanya di tangga indeks 4.8. Apa yang lebihnya Pulau Pinang sehingga anda melabelkan kami sebagai negeri hampir bangkrap?

Suka untuk saya nyatakan kepada Guan Eng, Kelantan telah mencatatkan penurunan kadar kemiskinan sebanyak 1.8% daripada 2.7% pada 2012 kepada 0.9% pada tahun 2014. Pencapaian ‘negeri bangkrap’ ini juga dari sudut anggaran tahunan hasil negeri meningkat dari tahun ke setahun di mana pada tahun 2017, Kelantan mengunjurkanmemperolehi hasil sebanyak RM636.98 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM179.67 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM308.02 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM149.29 juta. Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM43.18 juta ataupun sebanyak 7.27% berbanding dengan anggaran hasil tahun 2016 sebanyak RM593.80 juta.

Adapun kegagalan pemimpin kami membeli rumah banglo yang dilengkapi dengan kolam renang, ia bukanlah kerana Kelantan tidak mempunyai wang dan hampir bangkrap, tetapi negeri ini sudah diasaskan di atas prinsip Membangun Bersama Islam. Prinsip ini sudah cukup menyejukkan tanpa memerlukan kolam renang untuk menurunkan suhu kepanasan. Hakikatnya, membuat perbandingan ‘apple to apple’ di antara dua buah kerajaan negeri ini adalah tidak adil kerana banyak lagi faktor perlu ditimbangkan, namun menuduh dengan bahasa kesat bahawa Kelantan ialah sebuah negeri yang bangkrap dan muflis ialah satu tuduhan yang sangat tidak berperikemanusiaan.

Kelantan terus ditadbir dengan baik oleh kerajaan PAS. Projek-projek persekutuan sekalipun ada yang mengalami diskriminasi, namun sebahagiannya berjalan sekalipun pemimpin negeri tidak berpegangan tangan mesra dengan pemimpin UMNO di atas lantai kaca. Cukup hanya sekadar bergambar bersama pun sudah dilambakkan dengan tuduhan ‘UG’ oleh lidah-lidah pengikut Guan Eng.

Saya hanya memilih menjawab beberapa serangan sahaja sebelum menjawab beberapa isu lain. Samalah seperti seperti kata Guan Eng sewaktu ditanya kenapa tidak menyaman Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, jawabnya “Kenapa perlu membuang masa..?”

Saya syorkan kepada Guan Eng, nikmatilah hari-hari terakhir sebagai seorang manusia yang bebas dengan sebaik mungkin. Bimbang nanti jika anda ‘ke dalam’ untuk kali kedua, lebih ramai yang bergembira daripada yang bersimpati dengan nasib tuan.

Sekian, wassalam.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
8 Februari 2017

Mengapa PAS Tolak DAP?



Sesebuah negara atau tamadun manusia ada kisah mula dan akhirnya. Ada sebab ia berkembang maju dan ada sebabnya ia jatuh dan runtuh. Semuanya disimpan di dalam lipatan sejarah sebagai pelajaran dan pengajaran buat manusia yang datang selepasnya.

Di dalam al Quran Allah menceritakan kehancuran kerajaan-kerajaan besar seperti kaum 'Aad, Thamud, Ashabu Madyan dan kerajaan Firaun di Mesir. Ketika kerajaan-kerajaan tersebut runtuh, mereka hidup penuh kekuatan dan kemewahan. Ertinya, mereka hancur bukan kerana kemiskinan dan kemelaratan hidup. Tetapi kerana sebab lain yang mungkin di luar kajian dan kesepakatan manusia hari ini. Mereka dihancurkan kerana mereka memusuhi Allah dan rasul-Nya.

Kita sering berbahas panjang tentang kemiskinan dan teruknya kedudukan ekonomi sesebuah negara. Kita sering jadikannya sebagai kayu ukur kebangunan dan kemakmuran sesebuah negara. Apabila negara dihimpit oleh kemurungan ekonomi akibat salah laku pemerintah atau sebab-sebab lain, maka kita secara mudah menganggap negara sedang di ambang kehancuran.

Apabila ada yang mengingatkan tentang ugama dan murka Allah sebagai sebab utama kehancuran sesebuah negara, ramai yang berpaling dan menolaknya, malah menganggap ia sebagai mengarut dan mengada-ngada. Bagi mereka, redha Allah adalah pada kemakmuran ekonomi manakala murka Allah adalah pada kesempitan ekonomi.

Negara kita sekarang sememangnya sakit kehidupan rakyatnya. Kenaikan harga barang dan sempitnya pintu rezeki rakyat begitu menghimpit kehidupan. Sudah pasti pihak kerajaan dan parti pemerintah menjadi punca utama keadaan ini. Polisi dan tindakan kerajaan yang lemah dan salah telah meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil dan sering terlucut daripada kawalan dan pemanduan yang betul.

Sekarang kita harus bertanya, adakah kerosakan negara kita yang mungkin akan semakin teruk adalah disebabkan oleh kemelaratan hidup atau oleh kejahatan pemerintah? Sudah pasti jawabannya adalah kerana pemerintah. Kemelaratan hidup adalah kesan yang dirasai oleh rakyat teramai. Tindakan pemerintah yang zalimlah yang telah memudaratkan negara.

Wujudkah kemurkaan Allah di sini? Jawabannya ya. Allah memurkai pemerintah yang gagal menunaikan amanah pemerintahan dan kekuasaan yang dikurniakanNya. Unsur rasuah, pembaziran, salah guna kuasa, pilih kasih, penganiayaan, pengabaian terhadap fakir miskin dan sebagainya adalah punca-punca pengabaian terhadap perintah Allah yang menarik kemurkaanNya.

Kesalahan-kesalahan berulang sejak lama oleh pemerintah ini jika tidak dihalang sudah pasti akan terus menarik kemurkaan Allah. Kemurkaan Allah pasti akan berakhir dengan hukuman yang lebih berat. Ia bukan sekadar kemelaratan ekonomi, bahkan kemelaratan kemanusiaan itu sendiri. Manusia akan meninggalkan ugama dan hidup seperti binatang yang merajakan nafsu dan kehilangan manusiawi dan ugama. Saat itu tiada erti lagi kehidupan yang didamba.

Kerana itulah para ulamak yang benar dan ikhlas sering mengingatkan pihak pemerintah agar bertaqwa dan berlaku adil kepada rakyat. Suara dan seruan kepada Allah sentiasa diulang-ulang agar peringatan besar ini tidak hilang dan lenyap di tengah-tengah kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.

Anda telah menemukan jawaban bahawa kesempitan ekonomi dan kehidupan negara hari ini adalah berpunca daripada pengabaian terhadap perintah Allah agar negara ini ditadbir dengan prinsip taqwa dan keadilan sesama manusia. Justeru anda melihat Islam dan para pejuangnya begitu konsisten memberi peringatan kepada rakyat dan pemerintah agar mengislahkan negara menuju jalan yang lebih mendekati redha Allah.

Saya ajukan kepada anda satu soalan penting. Bagaimana reaksi anda terhadap penyelesaian isu-isu negara tanpa mengambil kira soal kemurkaan Allah? Di negara kita, ada golongan yang melihat bahawa kemiskinan adalah punca keruntuhan negara yang disebabkan oleh pemerintah yang gagal mentadbir dengan betul. Kekuatan ekonomi menjadi kayu ukur kejayaan sesebuah negara. Bagi mereka, unsur redha dan murka Allah hanyalah sekadar mainan bibir bagi menarik hati rakyat yang beragama untuk menyokong mereka menjatuhkan pihak pemerintah.

Bagi mereka, sebagai contoh, walaupun riba adalah aktiviti ekonomi dan kewangan yang dimurkai Allah, selama mana ia mendatangkan kerancakan kepada ekonomi negara, maka ia harus diterima dan dikembangkan. Begitu juga, jika aktiviti judi dan pelacuran diurus secara baik dan profesional, lalu membantu ekonomi negara, maka ia haruskan dibenarkan.

Golongan ini akan segera menolak ajakan-ajakan kepada syariah Islam dan hukum-hukum agama yang disifatkan menyekat kebebasan dan hak-hak manusia untuk bebas membuat keputusan sendiri untuk diri sendiri dan masyarakat tanpa ikatan agama. Bagi mereka, agama mestilah dihalang mencampuri urusan negara. Agama bukanlah panduan yang praktikal dan sesuai untuk memajukan sebuah negara moden hari ini.

Apa reaksi anda? Tanpa menanti jawaban, saya ingin tegaskan bahawa inilah kemelut yang melanda negara kita hari ini. Kita sebenarnya bukan hanya berhadapan dengan krisis kemelaratan ekonomi dan kesempitan hidup rakyat sahaja. Bahkan krisis yang turut melanda ialah bagaimana melihat kepada penyelesaian sebenar isu-isu negara. Adakah dengan hanya menukar kerajaan lama, maka ia mencukupi untuk masa depan negara yang lebih baik?

PAS mengingatkan rakyat bahawa kehancuran negara adalah kerana negara itu menjemput kemurkaan Allah. Apabila kemurkaanNya memuncak dengan kehendakNya, Allah pasti menghancurkan negara tersebut dengan seburuk-buruk kehancuran. Ia bukan lagi dengan menghancurkan ekonominya, bahkan ia membawa kepada fitnah terhadap agama dan iman. Rakyat akan sanggup mencari sesuap nasi dan keselesaan hidup walaupun terpaksa menggadai agama mereka sendiri. Adakah lagi kehancuran manusia yang lebih buruk daripada itu?

Justeru PAS menyeru rakyat agar menolak sebarang penyelesaian yang menolak pesanan-pesanan agama. PAS menolak mereka yang bermusuh dengan Allah, Rasul dan agamaNya. Ia hanya ajakan meninggalkan kemurkaanNya menuju kemurkaanNya yang baru. Ia kerja sia-sia yang membazirkan masa dan usaha menuju kehidupan yang diredhai Allah.

Jika anda bertanya, mengapa PAS menolak DAP dan mereka yang bersamanya, maka jawabannya adalah selaras dengan apa yang dijelaskan di atas. DAP menolak penyelesaian agama untuk negara. Bukan hanya untuk negara, DAP berani menolak dan menentang kehendak umat Islam untuk berubat dan mencari penyelesaian dengan agama Islam mereka sendiri. Ia adalah permusuhan yang nyata terhadap Allah dan agamaNya. Justeru PAS mengingatkan rakyat Malaysia agar menolak penyelesaian cara DAP.

Islam adalah agama yang sempurna. Kecacatan umat adalah kerana jauhnya mereka daripada panduan agamanya yang sempurna. Adalah satu yang amat jelas mengapa umat Islam harus kembali kepada agamanya sendiri. Justeru adalah suatu yang amat nyata bahawa berjuang menegakkan agamaNya adalah satu kemuliaan yang tertinggi. -

Nik Muhammad Abduh Nik Abd Aziz

HARAKAHDAILY 6/2/2017

Rahsia Khusyuk Dalam Solat


Terdapat seorang ahli ibadah yang sangat taat bernama Isam bin Yusuf. Beliau sangat warak dan khusyuk setiap kali mendirikan solatnya. Namun beliau selalu bimbang jika ibadahnya kurang khusyuk dan sering bertanya kepada orang-orang yang dianggap lebih alim untuk memperbaiki dirinya yang selalu dianggap kurang khusyuk.


Pada suatu hari, Isam bin Yusuf menemui seorang abid bernama Hatim al-Isam dan bertanya;

“Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan mendirikan solat?”

“Apabila masuk waktu solat aku berwudhuk zahir dan batin.” Hatim al-Isam lalu menjawab, kemudian Isam bin Yusuf bertanya lagi, “Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?”

Hatim al-Isam kemudian berkata,

“Wudhuk zahir seperti biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air. Tapi wudhuk batin adalah membasuh anggota dengan tujuh perkara.”

Isam bin Yusuf bertanya lagi dengan penuh perasaan, “apakah tujuh perkara itu?”
“Pertama bertaubat, kedua menyesali dosa yang dilakukan, ketiga adalah tidak tergila-gilakan dunia, keempat tidak mencari atau mengharap pujian orang lain, yang kelima tinggalkan sifat berbangga, keenam tinggalkan sifat khianat dan menipu dan ketujuh adalah meninggalkan sifat dengki.” Jawab Hatim al-Isam.
“Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Sirratul Mustaqim’ dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat yang terakhir, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat aku fahamkan maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk, aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.”
Terang Hatim al-Isam kepada Isam bin Yusuf.

Sebaik saja Isam mendengar kata-kata Hatim al-Isam itu, Isam bin Yusuf terus menangis dan membayangkan ibadahnya yang kurang baik jika dibandingkan dengan Hatim al-Isam.

Demikian kebimbangan seorang ahli ibadah terhadap solatnya, bagaimana dengan kita? Adakah sudah cukup khusyuk solat kita selama ini?

Solat adalah ibadah yang mempunyai kedudukan paling mulia di sisi Allah SWT. Solat itu juga tiang agama. Disebabkan itulah solat dapat membezakan antara orang mukmin dan kafir. Sesungguhnya solat juga menghindari daripada perlakuan munkar dan mampu melebur dosa seseorang.
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.”
Al-Ankabuut: 45Sesuai dengan tempatnya yang tinggi di sisi Allah, sudah tentu solat haru dilaksanakan dengan aturan yang istimewa; khusyuk.
Namun, khusyuk itulah yang susah digapai, bahkan menjadi dambaan agung bagi setiap umat Islam.

Tapi bagaimana untuk meraih khusyuk itu dalam solat kita? Terdapat beberapa cara yang boleh diaplikasikan demi mendapatkan solat yang khusyuk, seperti;

• Bersedia untuk solat
• Mengingat mati ketika solat
• Menghayati makna bacaan solat
• Membaca dan meneliti bacaan dengan betul
• Mengagungkan Allah SWT
• Tumakninah
• Wudhuk yang sempurna
• Tumpuan penuh pada solat
• Doa agar terhindar dari godaan syaitan
• Membaca surah sambil berhenti pada tiap ayat-ayatnya
• Meyakini bahawa Allah akan mengabulkan permintaan umatnya yang mendirikan solat
• Solat di awal waktu
• Azan dan iqamah
• Solat berjemaah
• Kosongkan hati dan lapangkan fikiran
• Suara bacaan tidak terlalu perlahan dan terlalu kuat (sederhana)
• Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
• Hindari solat ketika mengantuk
• Melihat ke arah tempat sujud
• Meletakkan sutrah (tabir pembatas)
• Menghilangkan sesuatu yang mengganggu kita di tempat solat
• Tidak solat di tempat yang terlalu dingin atau terlalu panas
• Menjaga makanan, minuman dan pemakaian
• Pilih tempat solat yang menenangkan
• Hindari solat sambil menahan buang air besar atau menahan air kecil
• Hindari solat berdekat makanan atau minuman yang disukai
• Membersihkan diri dan bersugi
• Jauhi solat di belakang orang-orang yang sedang bercakap-cakap atau orang yang tidur
• Jangan solat dalam keadaan lapar
• Pastikan tiada gangguan
• Kurangkan pergerakan
• Melawan goadaan syaitan dengan berzikir
• Pilih tempat solat yang menenangkan
• Gunakan sejadah atau pelapik yang tidak mengganggu perhatian
• Menghindari dari memikirkan hal keduniaan
• Merendahkan diri dan tawaduk

Sesungguhnya, orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari bahawa dia hanyalah hamba, pasti akan patuh dengan setiap perintah yang disampaikan oleh para rasul, bahkan akan lebih khusyuk demi mendapat nikmat solat. Seperti firman Allah SWT:
“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”
Surah al-Baqarah: 45-46
Sumber:  http://tazkirah.net/mencari-tenang-dan-khusyuk-dalam-solat/

Hakikat Ilmu



Apakah hakikat ilmu pada diri pemiliknya?
1. Ilmu itu suatu yg bila bertambah akan semakin 
    rendah dirinya.

2. Akan semakin ingat ia akan akhirat. 
3. Akan semakin meremehkan dunia. 
4. Akan semakin Yakin kpd Tuhannya. 
5. Akan semakin menghormati org2 yg berilmu. 
6. Akan semakin takut memberikan jawapan atas  sebarang soalan. 
7. Akan semakin resah jika terkenal. 
8. Tidak merasa sedih jika dilupai dan tidak merasa sombong jika dikenali. 
9. Akan semakin cintakan dan rindukan syahid. 
10. Akan semakin sayang kepada golongan fuqara dan masaakin. 
11. Akan semakin mencintai dan ternanti2 kan waktu munajat di tengah mlm.

Jika semua itu tiada pada seorg yg berilmu, sebenarnya ia belum memiliki apa2 ilmu. Kerana ILMU itu bukan pada banyaknya riwayat dan banyaknya kitab. itu lah hakikat ilmu.

Bukan Islam Tidak Boleh Menjadi Ketua kerajaan Islam



Syarat utama sebuah kerajaan Islam ialah ia mesti ditadbir oleh seorang muslim. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali seperti dipetik di SINI berkata:

“Tidak boleh Ketua Negara, Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menterinya seorang bukan Islam. Itu syarat utama sebuah kerajaan Islam." 
“Kekuasaan Islam tidak akan tertegak menerusi seorang Ketua Menteri bukan Islam kerana ketiadaan akidah Islam tidak akan menjamin pelaksanaan Syariat Islam,” 

Sehubungan itu, katanya, menaikkan elaun guru al-Quran, memberi tanah untuk pembinaan Mahkamah Syariah, membina masjid atau menyediakan peruntukan untuk agama Islam, bukannya ukuran utama keislaman sesebuah kerajaan.

Beliau berkata, pelaksanaan Islam di sebuah negara atau negeri tidak boleh bersifat tempelan, sebaliknya keislaman sesebuah kerajaan tergambar dengan Islam dijadikan dasar dan prinsip dalam semua aspek pengurusan dan pentadbiran bagi kementerian dan jabatan.

“Sesebuah kerajaan perlu menerima bahawa al-Quran dan al-Sunnah mesti menjadi rujukan. Sebuah kerajaan Islam mesti diperintah oleh seorang muslim yang adil yang tidak fasik melakukan dosa-dosa besar. Seorang yang fasik melakukan maksiat berterusan tanpa taubat mana mungkin mampu menegakkan sebuah keadilan." 
“Islam mesti diterima pada undang-undang ibadahnya, undang-undang kekeluargaannya, undang-undang kontrak dan transaksi kewangan, undang-undang jenayah, undang-undang antarabangsa, kehakiman dan politik pemerintahan. Riba tidak boleh menjadi paksi ekonomi dan kewangan kerana ia adalah ibu kerosakan". 
“Jangan terpedaya dengan momokan untuk adil seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz jika akidahnya tidak seperti Umar bin Abdul Aziz, sementelah pula akhlaknya kerana keadilan itu tidak akan berlaku dan terlaksana tanpa akidah dan akhlak Islam,” katanya.

Apakah Itu Bunian?





Soalan: Boleh terangkan bunian ini makhluk apa? 

Jawapan: 

Bunian adalah merujuk kepada makhluk halus atau orang halus yang tinggal di hutan, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. 

Masyarakat Melayu menganggap bunian adalah antara makhluk ghaib yang menjadi penyebab kepada histeria (penyakit urat saraf yang terlihat pada letusan-letusan emosi yang tidak dapat dikawal) atau dikenali dalam kebudayaan Melayu sebagai ‘dirasuk hantu’. 

Menurut pandangan pakar perubatan Islam terkemuka, almarhum Tuan Guru Dato Dr. Haron Din, orang bunian adalah wujud dan tergolong dalam kelompok makhluk halus. Makhluk halus seperti ini suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia dan mewujudkan perkampungan mereka sendiri disamping hidup berkeluarga dan bermasyarakat. 

Secara khususnya, kami berpandangan bahawa ianya adalah daripada kelompok jin yang dikenali dengan nama ‘Amir (عَامِرٌ) yang tinggal bersama-sama dengan manusia.[1] Ini kerana ianya bersamaan dengan kebiasaan kelompok bunian yang tinggal berdekatan dengan penempatan manusia dan mempunyai penempatan tersendiri. 

Ini disokong oleh sebuah hadith Nabi SAW:

 الجِنُّ على ثَلَاثَةِ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ في الهَوَاءِ وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلَابٌ وَصِنْفٌ يَحِلُّوْنَ وَيَظْعَنُوْنَ 

Maksudnya: “Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang ke sana ke mari (di udara), satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, manakala golongan yang ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah randah.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, no. 573; al-Hakim dalam al-Mustadrak no. 3702)

Akhukum fillah, 
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri 
Mufti Wilayah Persekutuan 
______________________________
 [1] Ibn ‘Abd al-Barr. al-Tamhid, 1/117

http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/969-al-kafi-li-al-fatawi-siri-ke-479-apakah-itu-bunian

Mengapa Syariat ISLAM Dikelirukan?


RUU 355 terus menjadi sasaran untuk ditolak oleh sebahagian manusia di Malaysia sekarang, walaupun tujuannya khusus bagi penganut Islam sahaja untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang dihina dizaman penjajah dahulu setelah mereka merampas negara dan kuasa Raja-Raja yang melaksanakan Islam di zaman itu. RUU 355 juga menepati kedudukan Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Malaysia dan konsep kebebasan beragama.

Kajian para orientalis yang mengkaji Islam dan masyarakatnya menegaskan bahawa rahsia kemajuan umat Islam termasuk di rantau ini kerana berpegang dengan ajaran Islam yang sebenarnya secara menyeluruh termasuklah dalam aspek pentadbiran dan hukum syariat yang adil sehingga mewujudkan keamanan dan keselamatan, seterusnya berjati diri dengan iman, ilmu dan akhlak mulia.

Negeri Melaka yang bersejarah dicatatkan sebagai tempat pertemuan budaya dan ekonomi serantau dan banyak catatan dipadamkan dalam Sejarah Nusantara, sebahagiannya masih tersimpan dalam arkib di negara-negara barat secara bertulis. Bahasa Melayu bertulisan huruf Al-Quran yang ditambah dengan huruf yang tidak mampu ditampung oleh huruf Bahasa Eropah yang dipaksa pada hari ini masih tetap ada pengaruhnya di seluruh rantau ini termasuklah Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Kaum Cham di Kemboja dan Vietnam. Ini menujukkan betapa pengaruh tamadun Islam itu bertapak sehingga segala surat perjanjian dengan semua pihak ditulis dengan Bahasa Melayu dan hurufnya.

Barat yang datang menjajah melaksanakan agenda menghapuskan pengaruh Islam dalam masyarakat serantau dengan niat yang jahat sehingga hari ini. Walaupun mereka sudah keluar dan kita telah merdeka pada sebutan dan tulisannya, sedarlah bahawa kemerdekaan itu dirancang dan diatur supaya kita terus lemah dan bergantung kepada mereka dalam semua perkara. Dalam masa yang sama, mereka meninggalkan saki baki pengaruh melalui pendidikan dan pelajaran yang membentuk jati diri anak negeri yang dijajah supaya menjadi hamba kepada mereka secara halus, seterusnya boleh menjadi khadam meneruskan agenda yang diatur.

Penjajah itu telah mengatur strategi samada dijadikan rantau ini untuk terus digunakan untuk mendapatkan hasil dan rakyatnya dijadikan khadam atau mereka boleh dipanggil kembali menjadi penyelamat yang jahat dan tidak berperikemanusiaan.

Sedarkah bahawa segala gejala negatif yang berselerak seperti kezaliman sesama sendiri, salahlaku kuasa dan harta negara, merebaknya rasuah, jenayah, maksiat, arak, dadah, judi, pergaulan bebas dan semuanya kerana kelemahan ideologi, teori, undang-undang, sistem dan segala warisan peninggalan penjajah yang dikekalkan. Tidakkah sepatutnya kita membuang saki baki peninggalan penjajah bila kita sudah merdeka? Mana yang baik terus dikekalkan, mana yang buruk dibuang dan ditinggalkan.

Islam adalah petunjuk paling sempurna kepada manusia seluruhnya dalam semua urusan dan aspek kejadian kerana Islam ini ciptaan Allah Pencipta seluruh alam.

Umat Islam wajib kembali kepada aqidahnya sendiri kecuali kalau aqidahnya sudah batal dan wajib dihidupkan semula secara ilmu dan ikhlas mencari kebenaran sebelum meninggal dunia kerana wawasan kita adalah wawasan akhirat, wawasan selepas mati.

Adapun orang bukan Islam tidak dipaksa menganut Islam, namun mereka mestilah membuat kajian secara jujur sepertimana mereka membuat kajian terhadap teori dan ideologi barat yang juga bukan berasal daripada China dan India. Pembacaan terhadap Islam hendaklah diambil daripada sumber yang asal, bukannya melalui penulisan orientalis barat yang tidak ikhlas terhadap Islam. Kalau penulisan orientalis itu menjadi rujukannya, penganut Islam juga boleh menjadi sesat dan salah faham terhadap agamanya sendiri.

Sangat malang nasibnya kalau merasa megah kerana merujuk kepada bekas penjajah seperti penyakit yang disifatkan oleh Ibnu Khaldun dalam Kitab Al-Muqaddimah:

"أن المغلوب مولع أبداً بالاقتداء بالغالب" (مقدمة ابن خلدون ص: 73، بترقيم الشاملة آليا

“Sesungguhnya bangsa yang dikalahkan seringkali tertarik dan terpengaruh dengan bangsa yang mengalahkan dan menjajahnya”

Bangsa Jerman dan Jepun yang kalah perang dunia bangkit bersama jatidiri bangsa dan bahasa masing-masing dan kembali menjadi kuasa besar yang tidak bergantung dengan kuasa besar yang mengalahkannya. Dua negara ini disaksikan kembali menjadi kuat.

Kita kembali kepada masalah mereka yang menolak RUU 355 adalah sebenarnya menghalang Islam kembali membangun umat. Mereka menghujahkan bukan tajuk asalnya RUU 355 tetapi mempersoalkan hukum Hudud, Qisas dan Takzir yang termasuk dibawah bidang kuasa negeri.

Sebenarnya, RUU 355 bertujuan memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya ditinggikan kerana kedudukan Islam adalah Agama Persekutuan mengikut Perlembagaan dan agama lain bebas diamalkan. RUU 355 juga dapat memperkenalkan sistem kehakiman Islam secara terperinci dan meluas dan memperkenalkan konsep hukuman bertujuan mendidik bukannya mendera yang khusus bagi umat Islam sahaja.

Ada yang menjadikan adanya dua sistem mahkamah sebagai alasan. Sebenarnya tidak menjadi salah adanya dua sistem mahkamah atau lebih dalam beberapa aspek kerana perbezaan agama dan budaya yang tidak harus dipaksa seperti contohnya undang-undang keluarga adalah berbeza diantara penganut Islam dan bukan Islam, bahkan sesama bukan Islam juga tidak sama agama mereka. Peraturan restoran Islam dan bukan Islam juga boleh berbeza kerana hukum halal dan haram yang tidak boleh dipaksa terhadap bukan Islam dan undang-undang pusaka turut berbeza. Ada juga perkara yang tidak boleh dibezakan undang-undangnya seperti undang-undang jalanraya kerana tidak masuk akal kalau dibezakan. Maka janganlah kita kelirukan akal kerana perkara yang berbeza yang dapat diselesaikan melalui dua sistem mahkamah.

Pelaksanaan Islam juga memberi hikmah kepada semua pihak untuk membuat perbandingan diantara undang-undang Islam dan undang barat dalam perkara menyelesaikan masalah bersama yang tidak dapat diselesaikan seperti kadar jenayah, kemalangan jalanraya yang semakin meningkat dan gejala dadah yang tidak dapat di atasi sehingga kini di seluruh dunia.

Islam bersikap tegas dalam perkara nas iaitu ketetapan Allah dan Rasul yang tidak mampu difikirkan oleh akal manusia tanpa memaksa orang bukan Islam. Namun Islam terbuka dalam isu kemanusiaan seperti hak asasi manusia mengikut fitrah seperti perlindungan terhadap agama, nyawa, keturunan, maruah dan harta sehingga Islam mengiktiraf dalam persamaan undang-undangnya dan membenarkan perbezaan terhadap agama dan adat kaum tertentu. Adanya banyak mazhab dalam hukum cabang syariat Islam adalah disebabkan oleh perubahan tempat, masa, dan perbezaan masyarakat.

Sejarah perundangan moden banyak dipengaruhi oleh syariat Islam melalui kajian orientalis dan pergaulan dizaman penjajahan apabila mereka menerima banyak kajian para ulama Islam. Contohnya, demokrasi moden berubah daripada demokrasi purba sehingga wujudnya pilihanraya, apabila mereka membaca sejarah pemilihan ketua negara dizaman awal Islam.

Selain itu juga, teori kalangan ahli falsafah barat untuk menghapuskan peperangan terpaksa menyerah kalah kepada panduan Al-Quran. Terjemahan Al-Quran dijadikan rujukan utama ketika menggubal undang-undang antarabangsa diawal abad yang lalu. Al-Quran mengajar bahawa peperangan menjadi tabii manusia dan menjadi wajib bagi menentang pencerobohan yang melampau tetapi jangan melampau dengan menggunakan undang-undang antarabangsa.

Perbezaan syariat Islam dengan perundangan moden barat adalah dari sudut aspek rohani (hubungan dengan Allah dan Hari Akhirat), adanya perhitungan dosa dan pahala yang tidak ada pada dasar, konsep dan sistem barat. Mereka tidak mengambil contoh pemerintahan Rasulullah S.A.W. yang mengarahkan supaya dibayar diat (ganti rugi) di atas kesilapan tentera Islam terhadap nyawa dan harta musuh dalam satu peperangan. Peristiwa itu berlaku di zaman tidak ada undang-undang antarabangsa seperti hari ini, sebabnya kerana aspek rohani yang tersebut.

Perbandingan di zaman kini adalah peristiwa pesawat MAS ditembak dan hilang, sebelumnya peristiwa pesawat Iran yang ditembak di Teluk, pesawat Libya dan Korea beberapa dekad yang telah berlalu, walaupun ada Mahkamah Antarabangsa dan berbagai-bagai pertubuhan antara negara, undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, semuanya laksana sarang labah-labah sahaja, boleh dirempuh oleh yang besar dan gagah mengikut undang-undang di hutan rimba.

Kejayaan syariat Islam mewujudkan keadilan untuk semua dan keamanan sejagat kerana kehebatannya yang menawan hati manusia sehingga berjaya menjadikan rantau yang dikuasai Islam di Asia, Utara Afrika dan Selatan Eropah sebagai tumpuan pedagang dan perkembangan sains dan teknologi yang bermanfaat daripada tamadun Islam yang memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Kedengkian barat yang melihat kehebatan ini menyebabkan mereka mencetuskan Perang Salib dan Penjajahan Barat setelah mereka mencapai ilmu duniawi yang dicedok daripada tamadun Islam tetapi berkonsepkan sekularisma yang memisahkan cara hidup daripada agama dan mencetuskan imperialisma yang menindas.

Hari ini dunia barat sedang menerima padahnya apabila tercetusnya krisis nilai kemanusian, kemusnahan moral, politik, ekonomi dan sosial tetapi menyalahkan pihak lain khususnya Islam yang menjadi mangsa utama. Sudah banyak kenyataan menunding jari terhadap Islam daripada beberapa tokoh ilmuan dan politik barat.

Maka percayalah bahawa mereka yang menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam adalah khadam upahan yang dilantik di negeri masing-masing yang terperangkap dalam krisis nilai. Mereka boleh menerima negara yang bersih rasuah tetapi boleh kalau pemimpinnya pemabuk, mengamalkan seks bebas dan sebagainya yang lebih besar dosanya daripada rasuah. Mereka boleh menerima pemimpin yang bercakap benar dalam mengerjakan maksiat kerana bagi mereka berani berterus terang walaupun mengerjakan maksiat dan meneruskan maksiat yang lebih besar kerana tidak ada konsep bertaubat dalam kefahamamnya.

PAS tidak boleh terpengaruh dengan mereka yang terperangkap dalam krisis nilai, apa lagi Islam berbeza menentukan nilai kemanusiaannya.

Islam meletakkan sifat yang menyeluruh terhadap fitrah manusia dari segi nilai baik buruknya merangkumi jasad, akal, roh, individu, keluarga, masyarakat, hubungan dengan Tuhan dan alam sekeliling yang tidak ada dalam teori barat yang mengalami krisis nilai sehingga terserlah tanda kejatuhannya.

Perbezaannya, Islam menjadikan segala amalan baik dan buruk laksana hubungan mata rantai yang tidak berpisah. Allah telah menyebut sebab keruntuhan tamadun terdahulu yang dipandang hebat pembangunan kebendaannya:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (6) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (7) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ (8) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (9) وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ (13) إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (14) الفجر.

“Apakah kamu tidak melihat (dengan mengambil iktibar) betapa Tuhan lakukan terhadap kaum Aad, kotanya bernama Iram punya bangunan yang teguh dan tinggi yang tidak pernah dibangunkan sepertinya di negeri lain. Kaum Thamud yang dapat membina bangunannya di batu besar dan bukitnya dilembah kediaman mereka. Firaun (Raja Mesir) yang mempunyai bala tentera ramai jumlahnya. Mereka semuanya melampau di negeri masing-masing, mereka juga banyak melakukan kejahatan dalam negeri masing-masing. Lalu Tuhanmu timpakan ke atas mereka hukuman azab yang membinasakan semuanya. Sesungguhnya Tuhanmu sentiasa melihat dengan nyata (apa-apa yang dilakukan).”

Sangat malang terhadap kalangan yang tidak senang dengan pertemuan dua parti UMNO, PAS dan NGO Islam kerana perbincangan perkara RUU 355, tetapi merasa senang kalau pertemuan DAP, MCA, GERAKAN dan sebagainya? Umat Islam sentiasa dianggap salah bila adanya sebarang usaha untuk melaksanakan Islam walaupun atas kepentingan bersama demi menyelamatkan semua.

“Inilah Penyelesaian Kita”


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
28 Rabiul Akhir 1438H / 27 Januari 2017M

Disingkir Pasukan Bola Sepak Kerana Bantu Badan Kebajikan



Pemain Tunisia, Anis Ben-Hatira yang bermain untuk kelab Darmstadt di Jerman telah ditamatkan kontrak oleh kelab tersebut atas persetujuan bersama. Ia selepas pemain tengah tersebut dikaitkan dengan pertubuhan keganasan walaupun dinafikan beliau.

Menurut Anis, beliau hanya membantu organisasi itu memperjuangkan layanan sama rata terhadap semua orang walaupun wujud perbezaan warna kulit dan kepercayaan agama.

Beliau juga merasakan tindakan Darmstadt itu sebagai sabotaj terhadap kariernya di Jerman. Ia tuduhan yang agak liar untuk beliau terima. Kemudian, Anis menganggap tindakan mereka sebagai memburuk-burukkannya. Beliau mempertahankan tindakan untuk berkerjasama dengan Ansaar International.

Ansaar International merupakan sebuah badan bukan kerajaan di Jerman. Badan ini mempunyai pelbagai projek di Syria, Palestin dan Afghanistan.

Ini berpunca daripada laporan media negara tersebut mengatakan pertubuhan itu ada kaitan dengan keganasan. Padahal ia cuma pertubuhan kebajikan yang menyalurkan bantuan tanpa mengira latar belakang penerima di wilayah yang memerlukan.
Anis Ben-Hatira sering membantu badan tersebut dalam melaksanakan programnya. Namun, ia telah mengundang kritikan ramai pihak.
Antara pihak mengkritiknya ialah penyokong kelab.

Sebahagian penyokong kelab telah memasang kain rentang meminta Anis Ben-Hatira agar menjauhkan diri dengan organisasi tersebut.

Lebih teruk apabila pasukan beliau Darmstadt turut campur tangan. Darmstadt dipercayai ditekan oleh sekumpulan individu yang berpengaruh.

Darmstadt mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak beliau. Presiden kelab, Rudiger Fritsch menyifatkan tindakan pemain itu salah. Ini kerana Ansaar International itu dikritik di seluruh Jerman.

Rudiger Fritsch juga mengesahkan Anis dilepaskan atas persetujuan bersama (mutual consent). Rudiger Fritsch berkata:
“Kami dengan dukacita memaklumkan kerjasama kami dengan Anis Ben Hatira telah tamat.” 
“Kami mengharapkan Ben Hatira, pemain yang sentiasa memberikan teladan yang baik sepanjang beliau di sini, semoga berjaya di masa akan datang.”

Ia tamparan untuk pengurus Darmstadt, Torsten Frings yang menganggap Anis Ben-Hatira sebagai pemain penting dalam pasukan.
Sumber- https://semuanyabola.com/anis-ben-hatira/

Bagaimana Rasulullah Mengajar Kita Cara Keluar Dari Kemiskinan?



Pada suatu hari seorang lelaki Ansar datang kepada Nabi Muhammad saw meminta bantuan.

Baginda saw pun bertanya,

“Apakah kamu mempunyai sesuatu di rumah?”
Lelaki Ansar menjawab,
“Ya ada. iaitu pakaian kasar yang dapat mengalas punggung unta. Sehelai kami guna dan ada yang sehelai lagi, kami hamparkan. Dan juga bekas minum.”
Rasulullah saw pun terus berkata,
“Bawa kedua-duanya kepada aku.”
Maka lelaki Ansar itu tadi pun membawa kedua-duanya kepada Rasulullah saw lantas Baginda mengambilnya lantas berkata kepada orang ramai,
“Siapa yang mahu membeli dua barang ini?”
Seorang lelaki menjawab,
“Aku akan membelinya dengan 1 dirham,”
Rasulullah saw pun berkata & mengulanginya 2, 3 kali,
“Siapa yang mahu menawarkan 2 dirham?”
Seseorang pun menjawab,
“Saya mahu membelinya dengan 2 dirham,”
Rasulullah saw pun mengambil 2 dirham tersebut dan diberikan kepada lelaki Ansar tadi lalu berkata,
“Belilah makanan 1 dirham untuk keluargamu dan 1 dirham lagi gunakan untuk membeli (mata) kapak dan bawa kepadaku.”
Lelaki Ansar tadi pun melaksanakan arahan Rasulullah saw dan memberikan (mata) kapak tersebut kepada Baginda. Rasulullah saw memasangkannya dengan kayu lalu berkata,
“Nah (kapak) dan sila pergi mencari kayu. Aku tak mahu melihat kamu di sini selama 15 hari ini.”
Lelaki Ansar itu pun beredar, mencari kayu dan menjualnya. Selepas 15 hari lelaki Ansar itu datang kepada Rasulullah saw bersama 15 dirham.

Rasulullah saw pun berkata,

“Beli makanan dan bakinya beli pakaian. Sesungguhnya ini adalah lebih baik dari dari kamu datang meminta-minta kerana perbuatan meminta-minta itu akan merosakkan wajah kamu pada hari Akhirat.
Sesungguhnya meminta-minta itu hanya untuk yang sangat miskin, orang yang kerugian teruk atau darah yang menyakitkan.”
Nota:

1. Hadis ini direkodkan oleh Imam Ibn Majah, No hadis 2198.

2. Rantaian hadis ini bermula dari Anas bin Malik r.a.


Jawapan Sultan Abdul Hamid II ( Uthmaniah Turki ) Kepada Kepada Wakil Zionist Yang Minta Izin Untuk Membina Penempatan Di Palestin

Theodor Herzl

Sultan Abdul Hamid II (1876-1909) adalah Sultan Turki Uthmaniyah yang ke-3 terakhir. Baginda adalah seorang sultan yang warak. Sultan Abdul Hamid II mendapat bimbingan & nasihat dari para alim ulama. Baginda juga seorang pengamal tarekat Syadziliyah di bawah bimbingan seorang ulama besar iaitu Syeikh Muhammad Zafir As Syadzili.

Pemerintahan baginda penuh dengan cabaran & dugaan. Baginda sentiasa menghadapi musuh dari luar & dalam. Malah terdapat beberapa cubaan untuk membunuhnya.

Pada 17 Mei 1901, pemimpin utama Zionist iaitu Theodor Herzl datang mengadap Sultan Abdul Hamid II dengan penuh hormat sambil tunduk & mencium tangan Sultan. Beliau meminta pada Sultan Abdul Hamid II untuk membenarkan orang-orang Yahudi yang terusir dari Eropah membina penempatan di Palestin. Ini adalah rancangan & langkah awal Zionist untuk membina negara Yahudi di Palestin. Sebagai balasan, Theodor Herzl menawarkan bayaran sejumlah emas bernilai 150 juta pound. Satu jumlah yang boleh menggelapkan mata manusia.

Namun, Sultan Abdul Hamid II menolak dengan tegas dan berkata:-

"Aku tidak akan menjual walau seinci pun wilayah Palestin kerana wilayah itu bukan milikku. Ia milik umat Islam. Mereka membayar empayar ini dengan darah mereka. Maka kami akan menebusnya dengan darah kami. Simpan saja wang kamu itu. Kamu akan mendapat wilayah Palestin secara percuma jika empayar ini berpecah. Selagi aku hidup, aku tidak akan benarkan perkara itu berlaku."
Sultan Abdul Hamid 11