Kebebasan Dari Perspektif Islam Dan Barat




Manusia, menurut pemikir-pemikr liberalisme dan humanisme sekular, bukanlah hamba sebaliknya adalah tuan bagi dirinya sendiri dan alam semesta, kerananya ia tidak perlu tunduk kepada apa-apa aturan yang datang daripada Tuhan mahupun agama tertentu. Sebaliknya, menurut Islam, manusia pada hakikatnya adalah hamba kepada Tuhan yang telah menciptakannya dan melimpahinya dengan pelbagai nikmat yang membolehkannya berperanan sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Suatu peranan yang cukup besar dan mulia berbanding makhluk-makhluk yang lain. Manusia, sebagaimana dinyatakan oleh Profesor S.M.N al-Attas dan para ulama’ Sufi lainnya, ‘berhutang’ kepada Allah -ia adalah hutang kewujudan, hutang yang tidak mungkin dapat dibayar oleh apapun kerana segala sesuatunya datang daripada Allah dan kembali kepadaNya. Justeru itu, di antara makna din (agama) dalam Islam adalah rasa keberhutangan (indebtedness).

Menyedari hal ini maka tanggungjawab utama manusia di muka bumi adalah beribadah dan menghambakan dirinya kepada Allah SWT (surah al-Dhariyat: 56). Menjadi hamba Allah bukanlah suatu kehinaan atau belenggu melainkan suatu keistimewaan kerana Ia adalah Tuhan yang memiliki segala sesuatu. Justeru dengan menghambakan diri kepada Allah, manusia akan mencapai kebahagiaan sebenar.

Meskipun manusia pada hakikatnya adalah hamba Allah, namun manusia diberikan pilihan untuk tunduk ataupun ingkar akan perintahNya. Kerana adanya pilihan ini maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada sesiapa yang memilih untuk tunduk dan patuh kepadaNya dan membalas dengan azab yang pedih kepada yang ingkar dan melampaui batas.



Perbezaan mendasar tentang konsepsi dan definisi manusia ini menyebabkan berlakunya pertembungan antara dua pandangan alam (worldview), Islam dan Barat. Bahkan menurut Profesor al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism (1978), pertembungan antara keduanya adalah pertembungan yang kekal. Namun ia bukanlah pertembungan peradaban sebagaimana yang dibicarakan oleh Samuel Huntington, tetapi ia hanyalah pertembungan antara worldviews. Oleh yang demikian, masyarakat Islam sejatinya tidak mungkin menerima nilai-nilai liberal dan begitu juga sebaliknya masyarakat Barat yang liberal tidak mungkin menerima nilai-nilai Islam.

Bagi golongan liberal, agama adalah suatu kongkongan. Ini kerana agama membatasi dan mengatur apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh manusia. Menurut J.S. Mill, seorang pemikir liberalisme yang paling berpengaruh, manusia perlu diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang diingininya meskipun ianya buruk di mata orang lain, selagi ianya tidak mendatangkan kecederaan dan kerugian kepada orang lain.

Di Barat, agama perlu ditafsirkan semula dan disesuaikan dengan falsafah sekularisme dan liberalisme, jika ia mahu terus kekal dalam kehidupan manusia. Sejak Revolusi Perancis, kebebasan individu di Barat bukan sahaja dipertahankan tetapi malah dipuja. Sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang itu atas nama kebebasan individu tidak boleh dihalang. Meskipun ianya bersalahan dengan prinsip dan nilai agama, bahkan norma masyarakat.

Golongan liberal di negara ini, yang dipelopori oleh Zaid Ibrahim, G25 dan IRF, menginginkan Malaysia menjadi negara sekular, kerana dengan itu negara tidak berhak mencampuri urusan individu. Agama dibatasi pada hal-hal ritual dan tidak boleh keluar daripada ruang peribadi. Negara mesti terpisah daripada agama dan tidak boleh menguatkuasakan undang-undang moral.


Bagi seorang liberal, kebebasan adalah tiadanya sekatan ke atas seseorang untuk melakukan apa sahaja yang diingininya. Kerana itu negara yang mengamalkan nilai-nilai liberal akan memelihara hak-hak individu, tanpa mengira agama, untuk pergi ke kelab-kelab malam, rumah-rumah pelacuran minum arak, berkhalwat, seks bebas dan sebagainya.

Pada hari ini, atas alasan kebebasan individu pornografi dan pelacuran dibenarkan di negara-negara sekular-liberal bahkan dilindungi oleh undang-undang. Golongan LGBTQI dan perkahwinan sesama jenis telah diiktiraf dan mendapatkan hak yang sama di sisi undang-undang.

Di Malaysia, oleh kerana kedudukan Islam yang tinggi dalam Perlembagaan, perkara-perkara di atas dikawal dan dicegah, dengan tujuan agar masyarakat Islam khususnya terpelihara daripada perkara-perkara yang keji dan ditegah oleh agama. Kebebasan dalam Islam adalah tiadanya sekatan untuk seseorang melakukan perkara yang baik dan berguna untuk dirinya dan orang lain. Kebebasan bukan lesen untuk melakukan perkara-perkara yang terkutuk di sisi agama, serta terkeluar dari norma-norma masyarakat. Selama sekitar seribu tahun lamanya kerajaan-kerajaan Melayu menjadikan Islam sebagai agama negara.

Sebagaimana dapat dilihat pada Hukum Kanun Melaka, Johor dan negeri-negeri lainnya Raja dan seluruh rakyat jelata berusaha sedaya upaya mengikuti perintah Allah dan melaksanakan undang-undang Islam. Islam menghormati hak-hak individu. Hak untuk mendapatkan kehidupan terhormat, hidup tanpa paksaan, memiliki harta, menganut dan mengamalkan agama yang diyakininya benar, menyuarakan pendapat, bergerak bebas tanpa sekatan, semua hak-hak ini dilindungi sejak diutusnya Rasulullah saw bahkan menjadi intipati ajaran Islam. Dalam Islam, ia bukan hanya hak yang perlu dituntut, tetapi kewajipan negara yang mesti ditunaikan.

Islam tidak menentang kebebasan individu, tetapi ia perlulah diletakkan pada tempatnya, ia tidak boleh dipuja sehingga menjadi ‘agama baru’. Kebebasan tidak sepatutnya menjadi tujuan akhir, ia adalah kenderaan bagi mencapai kebaikan manusia. Tujuan akhir manusia adalah kebahagiaan hakiki. Kerana itu kebebasan perlu ada sempadan, ia tidak boleh sampai membawa keburukan kepada diri sendiri mahupun masyarakat.

Apa sahaja yang mendatangkan keburukan kepada diri dan masyarakat baik dari segi moral, sosial, ekonomi, politik, dan intelektual, perlu dikawal dan disekat, supaya ianya tidak merosakkan masyarakat dan meruntuhkan sendi-sendi peradaban manusia. Di sinilah peranan negara penting untuk memelihara maslahat manusia. Negara perlu mengambil langkah yang bijaksana bagi memastikan bahawa tindak tanduk individu dan kemaslahatan peribadinya yang dilindungi undang-undang tidak menjejaskan maslahat umum.

Pertimbangan singkat demi memuaskan hawa nafsu individu tertentu tidak boleh dibiarkan jika ianya boleh memporakperandakan kesejahteraan masyarakat. Perkara-perkara yang mendatangkan keburukan perlu dikawal dan disekat. Keburukan di sini tidak terhad kepada keburukan yang bersifat material dan ekonomi tetapi lebih penting lagi adalah keburukan dari segi moral dan spiritual.

Pornografi dan pelacuran mungkin mendatangkan keuntungan material bagi sesetengah pihak tetapi ia mendatangkan keburukan dari segi moral, dan spiritual bahkan eksistensial. Homoseksualiti dan LGBTQI pada umumnya meskipun tidak mendatangkan kerugian material tetapi tidak syak lagi dapat merosakkan instituti keluarga dan tatanan masyarakat.



Golongan liberal beranggapan bahawa dengan melakukan apa sahaja yg mereka mahukan dan memiliki apa sahaja yang mereka inginkan mereka akan mencapai kebebasan sejati, mereka tidak sedar bahawa sebenarnya mereka telah terpedaya dan terkongkong dalam dunia material dan fizikal, mereka sebenarnya telah menghambakan diri mereka kepada harta benda dan hawa nafsu.

Sebaliknya bagi individu yang mencari makna di sebalik kehidupan material mereka menginginkan kebebasan yang lebih bersifat spiritual dan hakiki. Kerana itu di negara-negara Barat seperti Jerman dan Australia lebih 5000 orang setiap tahun masuk Islam setelah menyedari kebebasan yang dipuja itu ternyata tidak mendatangkan kebahagiaan sejati.

Kedua-dua Islam dan Barat mendokong kebebasan, perbezaannya konsep kebebasan yang dicanangkan oleh pemikir-pemikir liberalisme memberikan kebebasan yang terlalu luas kepada manusia untuk mengikut hawa nafsunya tanpa apa-apa sekatan, sedangkan dalam Islam kebebasan terhad kepada perkara-perkara yang dibenarkan oleh Shari’ah, untuk memastikan kemaslahatan dan kebaikan manusia benar-benar tercapai.

Konsep kebebasan yang dicanangkan oleh Barat tidak semestinya satu-satunya yang betul dan patut dituruti khasnya apabila terbukti bahawa konsep kebebasan itu lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan dari sudut pandang yang holistik. Tiada manfaatnya kebebasan untuk melakukan perkara-perkara yang jelas-jelas mendatangkan keburukan kepada seseorang. Justeru konsep kebebasan yang dicanangkan oleh Islam mampu menjamin kebahagiaan sejati manusia.

Seorang Muslim perlu berhenti daripada menerima dan mengamalkan secara membuta tuli konsep-konsep Barat, dengan andaian bahawa konsep-konsep itulah yang akan membawa mereka maju dan bertamadun. Mereka seharusnya berfikir mandiri dengan kemampuan sendiri untuk melahirkan konsep dan definisi sendiri bagi konsep-konsep penting ketamadunan yang bersesuaian dengan jati diri mereka.


Professor Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris, Felo utama di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan Penyelaras akademik di Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS)









Sumber: http://www.menara.my/kebebasan-dari-perspektif-islam-dan-barat/

0 ulasan:

Catat Ulasan