Mengapa Syariat ISLAM Dikelirukan?


RUU 355 terus menjadi sasaran untuk ditolak oleh sebahagian manusia di Malaysia sekarang, walaupun tujuannya khusus bagi penganut Islam sahaja untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang dihina dizaman penjajah dahulu setelah mereka merampas negara dan kuasa Raja-Raja yang melaksanakan Islam di zaman itu. RUU 355 juga menepati kedudukan Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Malaysia dan konsep kebebasan beragama.

Kajian para orientalis yang mengkaji Islam dan masyarakatnya menegaskan bahawa rahsia kemajuan umat Islam termasuk di rantau ini kerana berpegang dengan ajaran Islam yang sebenarnya secara menyeluruh termasuklah dalam aspek pentadbiran dan hukum syariat yang adil sehingga mewujudkan keamanan dan keselamatan, seterusnya berjati diri dengan iman, ilmu dan akhlak mulia.

Negeri Melaka yang bersejarah dicatatkan sebagai tempat pertemuan budaya dan ekonomi serantau dan banyak catatan dipadamkan dalam Sejarah Nusantara, sebahagiannya masih tersimpan dalam arkib di negara-negara barat secara bertulis. Bahasa Melayu bertulisan huruf Al-Quran yang ditambah dengan huruf yang tidak mampu ditampung oleh huruf Bahasa Eropah yang dipaksa pada hari ini masih tetap ada pengaruhnya di seluruh rantau ini termasuklah Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Kaum Cham di Kemboja dan Vietnam. Ini menujukkan betapa pengaruh tamadun Islam itu bertapak sehingga segala surat perjanjian dengan semua pihak ditulis dengan Bahasa Melayu dan hurufnya.

Barat yang datang menjajah melaksanakan agenda menghapuskan pengaruh Islam dalam masyarakat serantau dengan niat yang jahat sehingga hari ini. Walaupun mereka sudah keluar dan kita telah merdeka pada sebutan dan tulisannya, sedarlah bahawa kemerdekaan itu dirancang dan diatur supaya kita terus lemah dan bergantung kepada mereka dalam semua perkara. Dalam masa yang sama, mereka meninggalkan saki baki pengaruh melalui pendidikan dan pelajaran yang membentuk jati diri anak negeri yang dijajah supaya menjadi hamba kepada mereka secara halus, seterusnya boleh menjadi khadam meneruskan agenda yang diatur.

Penjajah itu telah mengatur strategi samada dijadikan rantau ini untuk terus digunakan untuk mendapatkan hasil dan rakyatnya dijadikan khadam atau mereka boleh dipanggil kembali menjadi penyelamat yang jahat dan tidak berperikemanusiaan.

Sedarkah bahawa segala gejala negatif yang berselerak seperti kezaliman sesama sendiri, salahlaku kuasa dan harta negara, merebaknya rasuah, jenayah, maksiat, arak, dadah, judi, pergaulan bebas dan semuanya kerana kelemahan ideologi, teori, undang-undang, sistem dan segala warisan peninggalan penjajah yang dikekalkan. Tidakkah sepatutnya kita membuang saki baki peninggalan penjajah bila kita sudah merdeka? Mana yang baik terus dikekalkan, mana yang buruk dibuang dan ditinggalkan.

Islam adalah petunjuk paling sempurna kepada manusia seluruhnya dalam semua urusan dan aspek kejadian kerana Islam ini ciptaan Allah Pencipta seluruh alam.

Umat Islam wajib kembali kepada aqidahnya sendiri kecuali kalau aqidahnya sudah batal dan wajib dihidupkan semula secara ilmu dan ikhlas mencari kebenaran sebelum meninggal dunia kerana wawasan kita adalah wawasan akhirat, wawasan selepas mati.

Adapun orang bukan Islam tidak dipaksa menganut Islam, namun mereka mestilah membuat kajian secara jujur sepertimana mereka membuat kajian terhadap teori dan ideologi barat yang juga bukan berasal daripada China dan India. Pembacaan terhadap Islam hendaklah diambil daripada sumber yang asal, bukannya melalui penulisan orientalis barat yang tidak ikhlas terhadap Islam. Kalau penulisan orientalis itu menjadi rujukannya, penganut Islam juga boleh menjadi sesat dan salah faham terhadap agamanya sendiri.

Sangat malang nasibnya kalau merasa megah kerana merujuk kepada bekas penjajah seperti penyakit yang disifatkan oleh Ibnu Khaldun dalam Kitab Al-Muqaddimah:

"أن المغلوب مولع أبداً بالاقتداء بالغالب" (مقدمة ابن خلدون ص: 73، بترقيم الشاملة آليا

“Sesungguhnya bangsa yang dikalahkan seringkali tertarik dan terpengaruh dengan bangsa yang mengalahkan dan menjajahnya”

Bangsa Jerman dan Jepun yang kalah perang dunia bangkit bersama jatidiri bangsa dan bahasa masing-masing dan kembali menjadi kuasa besar yang tidak bergantung dengan kuasa besar yang mengalahkannya. Dua negara ini disaksikan kembali menjadi kuat.

Kita kembali kepada masalah mereka yang menolak RUU 355 adalah sebenarnya menghalang Islam kembali membangun umat. Mereka menghujahkan bukan tajuk asalnya RUU 355 tetapi mempersoalkan hukum Hudud, Qisas dan Takzir yang termasuk dibawah bidang kuasa negeri.

Sebenarnya, RUU 355 bertujuan memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya ditinggikan kerana kedudukan Islam adalah Agama Persekutuan mengikut Perlembagaan dan agama lain bebas diamalkan. RUU 355 juga dapat memperkenalkan sistem kehakiman Islam secara terperinci dan meluas dan memperkenalkan konsep hukuman bertujuan mendidik bukannya mendera yang khusus bagi umat Islam sahaja.

Ada yang menjadikan adanya dua sistem mahkamah sebagai alasan. Sebenarnya tidak menjadi salah adanya dua sistem mahkamah atau lebih dalam beberapa aspek kerana perbezaan agama dan budaya yang tidak harus dipaksa seperti contohnya undang-undang keluarga adalah berbeza diantara penganut Islam dan bukan Islam, bahkan sesama bukan Islam juga tidak sama agama mereka. Peraturan restoran Islam dan bukan Islam juga boleh berbeza kerana hukum halal dan haram yang tidak boleh dipaksa terhadap bukan Islam dan undang-undang pusaka turut berbeza. Ada juga perkara yang tidak boleh dibezakan undang-undangnya seperti undang-undang jalanraya kerana tidak masuk akal kalau dibezakan. Maka janganlah kita kelirukan akal kerana perkara yang berbeza yang dapat diselesaikan melalui dua sistem mahkamah.

Pelaksanaan Islam juga memberi hikmah kepada semua pihak untuk membuat perbandingan diantara undang-undang Islam dan undang barat dalam perkara menyelesaikan masalah bersama yang tidak dapat diselesaikan seperti kadar jenayah, kemalangan jalanraya yang semakin meningkat dan gejala dadah yang tidak dapat di atasi sehingga kini di seluruh dunia.

Islam bersikap tegas dalam perkara nas iaitu ketetapan Allah dan Rasul yang tidak mampu difikirkan oleh akal manusia tanpa memaksa orang bukan Islam. Namun Islam terbuka dalam isu kemanusiaan seperti hak asasi manusia mengikut fitrah seperti perlindungan terhadap agama, nyawa, keturunan, maruah dan harta sehingga Islam mengiktiraf dalam persamaan undang-undangnya dan membenarkan perbezaan terhadap agama dan adat kaum tertentu. Adanya banyak mazhab dalam hukum cabang syariat Islam adalah disebabkan oleh perubahan tempat, masa, dan perbezaan masyarakat.

Sejarah perundangan moden banyak dipengaruhi oleh syariat Islam melalui kajian orientalis dan pergaulan dizaman penjajahan apabila mereka menerima banyak kajian para ulama Islam. Contohnya, demokrasi moden berubah daripada demokrasi purba sehingga wujudnya pilihanraya, apabila mereka membaca sejarah pemilihan ketua negara dizaman awal Islam.

Selain itu juga, teori kalangan ahli falsafah barat untuk menghapuskan peperangan terpaksa menyerah kalah kepada panduan Al-Quran. Terjemahan Al-Quran dijadikan rujukan utama ketika menggubal undang-undang antarabangsa diawal abad yang lalu. Al-Quran mengajar bahawa peperangan menjadi tabii manusia dan menjadi wajib bagi menentang pencerobohan yang melampau tetapi jangan melampau dengan menggunakan undang-undang antarabangsa.

Perbezaan syariat Islam dengan perundangan moden barat adalah dari sudut aspek rohani (hubungan dengan Allah dan Hari Akhirat), adanya perhitungan dosa dan pahala yang tidak ada pada dasar, konsep dan sistem barat. Mereka tidak mengambil contoh pemerintahan Rasulullah S.A.W. yang mengarahkan supaya dibayar diat (ganti rugi) di atas kesilapan tentera Islam terhadap nyawa dan harta musuh dalam satu peperangan. Peristiwa itu berlaku di zaman tidak ada undang-undang antarabangsa seperti hari ini, sebabnya kerana aspek rohani yang tersebut.

Perbandingan di zaman kini adalah peristiwa pesawat MAS ditembak dan hilang, sebelumnya peristiwa pesawat Iran yang ditembak di Teluk, pesawat Libya dan Korea beberapa dekad yang telah berlalu, walaupun ada Mahkamah Antarabangsa dan berbagai-bagai pertubuhan antara negara, undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, semuanya laksana sarang labah-labah sahaja, boleh dirempuh oleh yang besar dan gagah mengikut undang-undang di hutan rimba.

Kejayaan syariat Islam mewujudkan keadilan untuk semua dan keamanan sejagat kerana kehebatannya yang menawan hati manusia sehingga berjaya menjadikan rantau yang dikuasai Islam di Asia, Utara Afrika dan Selatan Eropah sebagai tumpuan pedagang dan perkembangan sains dan teknologi yang bermanfaat daripada tamadun Islam yang memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Kedengkian barat yang melihat kehebatan ini menyebabkan mereka mencetuskan Perang Salib dan Penjajahan Barat setelah mereka mencapai ilmu duniawi yang dicedok daripada tamadun Islam tetapi berkonsepkan sekularisma yang memisahkan cara hidup daripada agama dan mencetuskan imperialisma yang menindas.

Hari ini dunia barat sedang menerima padahnya apabila tercetusnya krisis nilai kemanusian, kemusnahan moral, politik, ekonomi dan sosial tetapi menyalahkan pihak lain khususnya Islam yang menjadi mangsa utama. Sudah banyak kenyataan menunding jari terhadap Islam daripada beberapa tokoh ilmuan dan politik barat.

Maka percayalah bahawa mereka yang menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam adalah khadam upahan yang dilantik di negeri masing-masing yang terperangkap dalam krisis nilai. Mereka boleh menerima negara yang bersih rasuah tetapi boleh kalau pemimpinnya pemabuk, mengamalkan seks bebas dan sebagainya yang lebih besar dosanya daripada rasuah. Mereka boleh menerima pemimpin yang bercakap benar dalam mengerjakan maksiat kerana bagi mereka berani berterus terang walaupun mengerjakan maksiat dan meneruskan maksiat yang lebih besar kerana tidak ada konsep bertaubat dalam kefahamamnya.

PAS tidak boleh terpengaruh dengan mereka yang terperangkap dalam krisis nilai, apa lagi Islam berbeza menentukan nilai kemanusiaannya.

Islam meletakkan sifat yang menyeluruh terhadap fitrah manusia dari segi nilai baik buruknya merangkumi jasad, akal, roh, individu, keluarga, masyarakat, hubungan dengan Tuhan dan alam sekeliling yang tidak ada dalam teori barat yang mengalami krisis nilai sehingga terserlah tanda kejatuhannya.

Perbezaannya, Islam menjadikan segala amalan baik dan buruk laksana hubungan mata rantai yang tidak berpisah. Allah telah menyebut sebab keruntuhan tamadun terdahulu yang dipandang hebat pembangunan kebendaannya:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (6) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (7) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ (8) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (9) وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ (13) إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (14) الفجر.

“Apakah kamu tidak melihat (dengan mengambil iktibar) betapa Tuhan lakukan terhadap kaum Aad, kotanya bernama Iram punya bangunan yang teguh dan tinggi yang tidak pernah dibangunkan sepertinya di negeri lain. Kaum Thamud yang dapat membina bangunannya di batu besar dan bukitnya dilembah kediaman mereka. Firaun (Raja Mesir) yang mempunyai bala tentera ramai jumlahnya. Mereka semuanya melampau di negeri masing-masing, mereka juga banyak melakukan kejahatan dalam negeri masing-masing. Lalu Tuhanmu timpakan ke atas mereka hukuman azab yang membinasakan semuanya. Sesungguhnya Tuhanmu sentiasa melihat dengan nyata (apa-apa yang dilakukan).”

Sangat malang terhadap kalangan yang tidak senang dengan pertemuan dua parti UMNO, PAS dan NGO Islam kerana perbincangan perkara RUU 355, tetapi merasa senang kalau pertemuan DAP, MCA, GERAKAN dan sebagainya? Umat Islam sentiasa dianggap salah bila adanya sebarang usaha untuk melaksanakan Islam walaupun atas kepentingan bersama demi menyelamatkan semua.

“Inilah Penyelesaian Kita”


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
28 Rabiul Akhir 1438H / 27 Januari 2017M

Disingkir Pasukan Bola Sepak Kerana Bantu Badan Kebajikan



Pemain Tunisia, Anis Ben-Hatira yang bermain untuk kelab Darmstadt di Jerman telah ditamatkan kontrak oleh kelab tersebut atas persetujuan bersama. Ia selepas pemain tengah tersebut dikaitkan dengan pertubuhan keganasan walaupun dinafikan beliau.

Menurut Anis, beliau hanya membantu organisasi itu memperjuangkan layanan sama rata terhadap semua orang walaupun wujud perbezaan warna kulit dan kepercayaan agama.

Beliau juga merasakan tindakan Darmstadt itu sebagai sabotaj terhadap kariernya di Jerman. Ia tuduhan yang agak liar untuk beliau terima. Kemudian, Anis menganggap tindakan mereka sebagai memburuk-burukkannya. Beliau mempertahankan tindakan untuk berkerjasama dengan Ansaar International.

Ansaar International merupakan sebuah badan bukan kerajaan di Jerman. Badan ini mempunyai pelbagai projek di Syria, Palestin dan Afghanistan.

Ini berpunca daripada laporan media negara tersebut mengatakan pertubuhan itu ada kaitan dengan keganasan. Padahal ia cuma pertubuhan kebajikan yang menyalurkan bantuan tanpa mengira latar belakang penerima di wilayah yang memerlukan.
Anis Ben-Hatira sering membantu badan tersebut dalam melaksanakan programnya. Namun, ia telah mengundang kritikan ramai pihak.
Antara pihak mengkritiknya ialah penyokong kelab.

Sebahagian penyokong kelab telah memasang kain rentang meminta Anis Ben-Hatira agar menjauhkan diri dengan organisasi tersebut.

Lebih teruk apabila pasukan beliau Darmstadt turut campur tangan. Darmstadt dipercayai ditekan oleh sekumpulan individu yang berpengaruh.

Darmstadt mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak beliau. Presiden kelab, Rudiger Fritsch menyifatkan tindakan pemain itu salah. Ini kerana Ansaar International itu dikritik di seluruh Jerman.

Rudiger Fritsch juga mengesahkan Anis dilepaskan atas persetujuan bersama (mutual consent). Rudiger Fritsch berkata:
“Kami dengan dukacita memaklumkan kerjasama kami dengan Anis Ben Hatira telah tamat.” 
“Kami mengharapkan Ben Hatira, pemain yang sentiasa memberikan teladan yang baik sepanjang beliau di sini, semoga berjaya di masa akan datang.”

Ia tamparan untuk pengurus Darmstadt, Torsten Frings yang menganggap Anis Ben-Hatira sebagai pemain penting dalam pasukan.
Sumber- https://semuanyabola.com/anis-ben-hatira/

Bagaimana Rasulullah Mengajar Kita Cara Keluar Dari Kemiskinan?



Pada suatu hari seorang lelaki Ansar datang kepada Nabi Muhammad saw meminta bantuan.

Baginda saw pun bertanya,

“Apakah kamu mempunyai sesuatu di rumah?”
Lelaki Ansar menjawab,
“Ya ada. iaitu pakaian kasar yang dapat mengalas punggung unta. Sehelai kami guna dan ada yang sehelai lagi, kami hamparkan. Dan juga bekas minum.”
Rasulullah saw pun terus berkata,
“Bawa kedua-duanya kepada aku.”
Maka lelaki Ansar itu tadi pun membawa kedua-duanya kepada Rasulullah saw lantas Baginda mengambilnya lantas berkata kepada orang ramai,
“Siapa yang mahu membeli dua barang ini?”
Seorang lelaki menjawab,
“Aku akan membelinya dengan 1 dirham,”
Rasulullah saw pun berkata & mengulanginya 2, 3 kali,
“Siapa yang mahu menawarkan 2 dirham?”
Seseorang pun menjawab,
“Saya mahu membelinya dengan 2 dirham,”
Rasulullah saw pun mengambil 2 dirham tersebut dan diberikan kepada lelaki Ansar tadi lalu berkata,
“Belilah makanan 1 dirham untuk keluargamu dan 1 dirham lagi gunakan untuk membeli (mata) kapak dan bawa kepadaku.”
Lelaki Ansar tadi pun melaksanakan arahan Rasulullah saw dan memberikan (mata) kapak tersebut kepada Baginda. Rasulullah saw memasangkannya dengan kayu lalu berkata,
“Nah (kapak) dan sila pergi mencari kayu. Aku tak mahu melihat kamu di sini selama 15 hari ini.”
Lelaki Ansar itu pun beredar, mencari kayu dan menjualnya. Selepas 15 hari lelaki Ansar itu datang kepada Rasulullah saw bersama 15 dirham.

Rasulullah saw pun berkata,

“Beli makanan dan bakinya beli pakaian. Sesungguhnya ini adalah lebih baik dari dari kamu datang meminta-minta kerana perbuatan meminta-minta itu akan merosakkan wajah kamu pada hari Akhirat.
Sesungguhnya meminta-minta itu hanya untuk yang sangat miskin, orang yang kerugian teruk atau darah yang menyakitkan.”
Nota:

1. Hadis ini direkodkan oleh Imam Ibn Majah, No hadis 2198.

2. Rantaian hadis ini bermula dari Anas bin Malik r.a.


Jawapan Sultan Abdul Hamid II ( Uthmaniah Turki ) Kepada Kepada Wakil Zionist Yang Minta Izin Untuk Membina Penempatan Di Palestin

Theodor Herzl

Sultan Abdul Hamid II (1876-1909) adalah Sultan Turki Uthmaniyah yang ke-3 terakhir. Baginda adalah seorang sultan yang warak. Sultan Abdul Hamid II mendapat bimbingan & nasihat dari para alim ulama. Baginda juga seorang pengamal tarekat Syadziliyah di bawah bimbingan seorang ulama besar iaitu Syeikh Muhammad Zafir As Syadzili.

Pemerintahan baginda penuh dengan cabaran & dugaan. Baginda sentiasa menghadapi musuh dari luar & dalam. Malah terdapat beberapa cubaan untuk membunuhnya.

Pada 17 Mei 1901, pemimpin utama Zionist iaitu Theodor Herzl datang mengadap Sultan Abdul Hamid II dengan penuh hormat sambil tunduk & mencium tangan Sultan. Beliau meminta pada Sultan Abdul Hamid II untuk membenarkan orang-orang Yahudi yang terusir dari Eropah membina penempatan di Palestin. Ini adalah rancangan & langkah awal Zionist untuk membina negara Yahudi di Palestin. Sebagai balasan, Theodor Herzl menawarkan bayaran sejumlah emas bernilai 150 juta pound. Satu jumlah yang boleh menggelapkan mata manusia.

Namun, Sultan Abdul Hamid II menolak dengan tegas dan berkata:-

"Aku tidak akan menjual walau seinci pun wilayah Palestin kerana wilayah itu bukan milikku. Ia milik umat Islam. Mereka membayar empayar ini dengan darah mereka. Maka kami akan menebusnya dengan darah kami. Simpan saja wang kamu itu. Kamu akan mendapat wilayah Palestin secara percuma jika empayar ini berpecah. Selagi aku hidup, aku tidak akan benarkan perkara itu berlaku."
Sultan Abdul Hamid 11

Inilah Gereja St. Catherine Yang Pernah Dilindungi Rasulullah s.a.w



Tahukah anda bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menulis dekri dalam sebuah piagam untuk melindungi sebuah gereja dan seluruh ahli di dalamnya? Gereja itu adalah gereja St. Catherine Monastery.

Dekri itu pernah ditulis pada tahun 628 M. Ketika itu, utusan dari Gereja St. Catherine mengunjungi Nabi Muhammad untuk meminta perlindungan . Lalu Baginda pun memberikan perlindungan dengan menuliskan sebuah piagam yang berikut.. 

Pada tahun 1517, piagam tersebut diambil oleh Sultan Selim I dari Turki dan kini berada di Museum Topkapi di Istanbul manakala salinannya yang telah disahkan diberikan kepada pihak gereja. Dengan demikian, piagam asli ketika ini disimpan di museum Topkapi di Turki, sementara salinannya disimpan di St. Catherine Monastery. 

St. Catherine Monastery hingga kini masih berdiri dan dapat dikunjungi dan UNESCO telah memasukkan gereja ini dalam daftar Warisan Dunia sebagaimana tertera di laman web UNESCO:
Gereja Ortodoks St Catherine berdiri di kaki Gunung Horeb, yang menurut catatan Perjanjian Lama, di tempat itulah Musa menerima Tablets of the Law [loh batu berisi perintah Tuhan]. Gunung ini dikenal dan dihormati oleh umat Islam sebagai Jabal Musa. Keseluruhan wilayah ini suci bagi tiga agama dunia: Kristen, Islam, dan Yahudi. Biara ini didirikan pada abad ke-6, dan merupakan biara Kristen tertua yang masih difungsikan sebagaimana awalnya. Dinding dan bangunannya sangat penting untuk studi arkitektur Bizantium. Gedung-gedung biara menyimpan koleksi naskah kuno dan ikon-ikon Kristen yag luar biasa. Pemandangan pegunungan terjal, yang berisi berbagai bahan arkeologi dan agama, serta monumen, membentuk latar belakang yang sempurna bagi gereja ini.


Artikel penuh boleh dibaca di SINI

Alat Seks Lebih Selamat Dari Alat Mainan Kanak-kanak?



Pihak berkuasa Sweden terkejut apabila mendapati alat memuaskan seks jauh lebih selamat digunakan berbanding mainan kanak-kanak.

Kajian mendapati 15 peratus mainan kanak-kanak di negara itu dicemari bahan berbahaya, termasuk plumbum, tetapi hanya dua peratus alat seks mengandungi bahan terlarang, lapor AFP.

“[Dapatan] ini agak mengejutkan,” kata Frida Ramstrom, seorang pemeriksa di Lembaga Kimia Sweden, kepada agensi berita itu. “Kajian ini kali pertama kami jalankan.”

Daripada 44 produk yang diperiksa, satu dildo plastik didapati mengandungi parafin berklorinasi, yang disyaki punca barah, kata lembaga itu.

Peraturan ketat yang diperkenalkan di Eropah mendorong kawalan keselamatan alat seks, kata Ramstrom lagi, yang menyatakan sukar menentukan punca mainan kanak-kanak lebih banyak bahan kimia.

Beliau berkata kebanyakan mainan anak-anak diperbuat di Asia, maka lebih sukar untuk mengawal tahap keselamatan bahan-bahan tersebut. - MMO


Perlukah PAS Sambut Huluran Tangan PH?



DAP berpecah 2. Sebahagian menyalahkan pemimpin mereka merosakkan keharmonian nasional antara agama dan antara kaum oleh tindak tanduk DAP. Ini tidak bagus untuk kepentingan kaum bukan melayu. Tidak bagus untuk keselamatan dan perniagaan. Ramai yg bantah permusuhan dengan PAS. Tapi tak ramai berani bersuara. Ada unsur diktator, tekanan dikenakan jika berlawanan.

PKR pun berpecah dua. Ramai pemimpin bakal tenggelam jika tiada sokongan undi dan jentera PAS. Tidak banyak kawasan yang boleh bertahan semata mata dengan sokongan DAP.

PPBM yang lantang bersikap negatif kepada PAS cuma Mahathir. kadang kadang nampak lebih masalah peribadi Mahathir dengan PAS yang tidak rasional. Yang lain seperti Muhyiddin Yassin, Mukhriz nampak sangat berhati hati dan tahu hayat PPBM bergantung sokongan orang melayu yang perlu diraih dari kalangan ahli dan penyokong UMNO. 

PPBM bukan sasarkan kawasan bukan melayu. PPBM belum ada rangkaian cawangan yang meluas. Jentera jauh sekali. Wang mereka mungkin ada. Mereka bekas pemimpin2 tertinggi UMNO! untuk itu perlu bantuan jentera PAS. bawa jentera DAP untuk berkempen membantu PPBM akan beri akibat buruk. Mengutamakan DAP berbanding PAS yg juga dekat dihati orang2 melayu sekalipun UMNO buruk akibatnya kepada PPBM. 

Ahli dan penyokong UMNO sejak merdeka sudah didoktrinkan membenci DAP sebagai musuh agama Islam, musuh orang Melayu. Berbeza dgn PAS yg menilai berasaskan sikap 'leaders and leadership of the day'. Jika tidak mengganggu urusan dan perjuangan Islam dan kepentingan orang Melayu, boleh bincang kepentingan bersama. Jika hormati perjanjian boleh bincang.

PAN pula kelihatan gagal. 2% sokongan dengan segala pelaburan oleh para penaja adalah sangat kecil. Terlalu fokus mencuri penyokong PAS yg ternyata PAN gagal bila kurang 1% yg keluar PAS. Ia tidak produktif bila sasaran sepatutnya memikat penyokong UMNO untuk bersama buat perubahan. PAS ternyata lebih berjaya dengan Budaya Politik Matang Sejahtera. Angka permohonan keahlian PAS yang baru meningkat luar biasa. Berlipat ganda lebih besar dari angka bilangan yang keluar dari PAS.

PAN mula dinilai liabiliti bila pemimpin PKR dan PPBM mula mencadangkan PAN dibubarkan.

Dengan angka cuma 2% sokongan diperolehi PAN yg didedahkan kajian bawah Rafizi Ramli yang dianggap genius oleh PH, ditambah analisa keputusan2 pilihanraya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta PRN Sarawak, adalah tidak pelik jika dalam usaha memujuk PAS, DAP akan bersetuju dengan saranan bubarkan PAN atau mempelawa PAN menjadi sayap melayu dalam DAP.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
( Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat )
23hb Januari 2017

Tak Tunggu Lama, Israel Luluskan 560 Penempatan Haram Baru Selepas 48jam Trump Menghuni White House


Ketika hari-hari terakhir Barack Obama sebagai Presiden, beliau mengkritik usaha mengembangkan penempatan Israel atas alasan ia merosakkan keamanan serantau dan merencatkan usaha penyelesaian antara Israel dengan Palestin.

Obama turut terpaksa memberi penjelasan kepada Netanyahu berhubung Amerika Syarikat yang mengambil pendekatan berkecuali dan tidak memveto resolusi mengutuk penempatan haram.

Namun sebaik sahaja mengambil alih kerusi Presiden, Donald Trump ternyata telah membuat pusingan 'U'  dengan mengambil pendekatan dasar Amerika Syarikat yang mesra Israel. Ianya dapat dilihat dengan kelulusan permit bangunan baru yang dikeluarkan pada Ahad.

Israel telah meluluskan 560 unit rumah tambahan yang akan dibina sebagai sebahagian daripada inisiatif penempatan haram di Timur Baitulmaqdis.

Pengumuman itu dibuat 48 jam selepas Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45.

Perkara tersebut mula tersebar selepas Radio Israel menemu bual Pengarah Jawatankuasa Perancangan dan Bangunan Jerusalem, Meir Turgeman yang memberitahu, permit yang sebelum ini ditangguhkan telah lulus sebaik sahaja Barack Obama meninggalkan White House.

Selepas kelulusan baharu diberikan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memutuskan untuk menarik balik larangan ke atas pembinaan penempatan di Timur Baitulmaqdis.

"Tidak perlu lagi penyelarasan dan kini kita boleh bina di mana tempat yang kita mahu," katanya dalam kenyataan yang dilaporkan Reuters.

Tambahnya, beliau mahu pembinaan penempatan Israel di semua wilayah Palestin.

"Kita telah duduki Palestin sejak 1967. Wawasan saya ialah untuk menggubal kedaulatan ke atas keseluruhan kawasan," tambahnya.

Kebebasan Dari Perspektif Islam Dan Barat




Manusia, menurut pemikir-pemikr liberalisme dan humanisme sekular, bukanlah hamba sebaliknya adalah tuan bagi dirinya sendiri dan alam semesta, kerananya ia tidak perlu tunduk kepada apa-apa aturan yang datang daripada Tuhan mahupun agama tertentu. Sebaliknya, menurut Islam, manusia pada hakikatnya adalah hamba kepada Tuhan yang telah menciptakannya dan melimpahinya dengan pelbagai nikmat yang membolehkannya berperanan sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Suatu peranan yang cukup besar dan mulia berbanding makhluk-makhluk yang lain. Manusia, sebagaimana dinyatakan oleh Profesor S.M.N al-Attas dan para ulama’ Sufi lainnya, ‘berhutang’ kepada Allah -ia adalah hutang kewujudan, hutang yang tidak mungkin dapat dibayar oleh apapun kerana segala sesuatunya datang daripada Allah dan kembali kepadaNya. Justeru itu, di antara makna din (agama) dalam Islam adalah rasa keberhutangan (indebtedness).

Menyedari hal ini maka tanggungjawab utama manusia di muka bumi adalah beribadah dan menghambakan dirinya kepada Allah SWT (surah al-Dhariyat: 56). Menjadi hamba Allah bukanlah suatu kehinaan atau belenggu melainkan suatu keistimewaan kerana Ia adalah Tuhan yang memiliki segala sesuatu. Justeru dengan menghambakan diri kepada Allah, manusia akan mencapai kebahagiaan sebenar.

Meskipun manusia pada hakikatnya adalah hamba Allah, namun manusia diberikan pilihan untuk tunduk ataupun ingkar akan perintahNya. Kerana adanya pilihan ini maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada sesiapa yang memilih untuk tunduk dan patuh kepadaNya dan membalas dengan azab yang pedih kepada yang ingkar dan melampaui batas.



Perbezaan mendasar tentang konsepsi dan definisi manusia ini menyebabkan berlakunya pertembungan antara dua pandangan alam (worldview), Islam dan Barat. Bahkan menurut Profesor al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism (1978), pertembungan antara keduanya adalah pertembungan yang kekal. Namun ia bukanlah pertembungan peradaban sebagaimana yang dibicarakan oleh Samuel Huntington, tetapi ia hanyalah pertembungan antara worldviews. Oleh yang demikian, masyarakat Islam sejatinya tidak mungkin menerima nilai-nilai liberal dan begitu juga sebaliknya masyarakat Barat yang liberal tidak mungkin menerima nilai-nilai Islam.

Bagi golongan liberal, agama adalah suatu kongkongan. Ini kerana agama membatasi dan mengatur apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh manusia. Menurut J.S. Mill, seorang pemikir liberalisme yang paling berpengaruh, manusia perlu diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang diingininya meskipun ianya buruk di mata orang lain, selagi ianya tidak mendatangkan kecederaan dan kerugian kepada orang lain.

Di Barat, agama perlu ditafsirkan semula dan disesuaikan dengan falsafah sekularisme dan liberalisme, jika ia mahu terus kekal dalam kehidupan manusia. Sejak Revolusi Perancis, kebebasan individu di Barat bukan sahaja dipertahankan tetapi malah dipuja. Sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang itu atas nama kebebasan individu tidak boleh dihalang. Meskipun ianya bersalahan dengan prinsip dan nilai agama, bahkan norma masyarakat.

Golongan liberal di negara ini, yang dipelopori oleh Zaid Ibrahim, G25 dan IRF, menginginkan Malaysia menjadi negara sekular, kerana dengan itu negara tidak berhak mencampuri urusan individu. Agama dibatasi pada hal-hal ritual dan tidak boleh keluar daripada ruang peribadi. Negara mesti terpisah daripada agama dan tidak boleh menguatkuasakan undang-undang moral.


Bagi seorang liberal, kebebasan adalah tiadanya sekatan ke atas seseorang untuk melakukan apa sahaja yang diingininya. Kerana itu negara yang mengamalkan nilai-nilai liberal akan memelihara hak-hak individu, tanpa mengira agama, untuk pergi ke kelab-kelab malam, rumah-rumah pelacuran minum arak, berkhalwat, seks bebas dan sebagainya.

Pada hari ini, atas alasan kebebasan individu pornografi dan pelacuran dibenarkan di negara-negara sekular-liberal bahkan dilindungi oleh undang-undang. Golongan LGBTQI dan perkahwinan sesama jenis telah diiktiraf dan mendapatkan hak yang sama di sisi undang-undang.

Di Malaysia, oleh kerana kedudukan Islam yang tinggi dalam Perlembagaan, perkara-perkara di atas dikawal dan dicegah, dengan tujuan agar masyarakat Islam khususnya terpelihara daripada perkara-perkara yang keji dan ditegah oleh agama. Kebebasan dalam Islam adalah tiadanya sekatan untuk seseorang melakukan perkara yang baik dan berguna untuk dirinya dan orang lain. Kebebasan bukan lesen untuk melakukan perkara-perkara yang terkutuk di sisi agama, serta terkeluar dari norma-norma masyarakat. Selama sekitar seribu tahun lamanya kerajaan-kerajaan Melayu menjadikan Islam sebagai agama negara.

Sebagaimana dapat dilihat pada Hukum Kanun Melaka, Johor dan negeri-negeri lainnya Raja dan seluruh rakyat jelata berusaha sedaya upaya mengikuti perintah Allah dan melaksanakan undang-undang Islam. Islam menghormati hak-hak individu. Hak untuk mendapatkan kehidupan terhormat, hidup tanpa paksaan, memiliki harta, menganut dan mengamalkan agama yang diyakininya benar, menyuarakan pendapat, bergerak bebas tanpa sekatan, semua hak-hak ini dilindungi sejak diutusnya Rasulullah saw bahkan menjadi intipati ajaran Islam. Dalam Islam, ia bukan hanya hak yang perlu dituntut, tetapi kewajipan negara yang mesti ditunaikan.

Islam tidak menentang kebebasan individu, tetapi ia perlulah diletakkan pada tempatnya, ia tidak boleh dipuja sehingga menjadi ‘agama baru’. Kebebasan tidak sepatutnya menjadi tujuan akhir, ia adalah kenderaan bagi mencapai kebaikan manusia. Tujuan akhir manusia adalah kebahagiaan hakiki. Kerana itu kebebasan perlu ada sempadan, ia tidak boleh sampai membawa keburukan kepada diri sendiri mahupun masyarakat.

Apa sahaja yang mendatangkan keburukan kepada diri dan masyarakat baik dari segi moral, sosial, ekonomi, politik, dan intelektual, perlu dikawal dan disekat, supaya ianya tidak merosakkan masyarakat dan meruntuhkan sendi-sendi peradaban manusia. Di sinilah peranan negara penting untuk memelihara maslahat manusia. Negara perlu mengambil langkah yang bijaksana bagi memastikan bahawa tindak tanduk individu dan kemaslahatan peribadinya yang dilindungi undang-undang tidak menjejaskan maslahat umum.

Pertimbangan singkat demi memuaskan hawa nafsu individu tertentu tidak boleh dibiarkan jika ianya boleh memporakperandakan kesejahteraan masyarakat. Perkara-perkara yang mendatangkan keburukan perlu dikawal dan disekat. Keburukan di sini tidak terhad kepada keburukan yang bersifat material dan ekonomi tetapi lebih penting lagi adalah keburukan dari segi moral dan spiritual.

Pornografi dan pelacuran mungkin mendatangkan keuntungan material bagi sesetengah pihak tetapi ia mendatangkan keburukan dari segi moral, dan spiritual bahkan eksistensial. Homoseksualiti dan LGBTQI pada umumnya meskipun tidak mendatangkan kerugian material tetapi tidak syak lagi dapat merosakkan instituti keluarga dan tatanan masyarakat.



Golongan liberal beranggapan bahawa dengan melakukan apa sahaja yg mereka mahukan dan memiliki apa sahaja yang mereka inginkan mereka akan mencapai kebebasan sejati, mereka tidak sedar bahawa sebenarnya mereka telah terpedaya dan terkongkong dalam dunia material dan fizikal, mereka sebenarnya telah menghambakan diri mereka kepada harta benda dan hawa nafsu.

Sebaliknya bagi individu yang mencari makna di sebalik kehidupan material mereka menginginkan kebebasan yang lebih bersifat spiritual dan hakiki. Kerana itu di negara-negara Barat seperti Jerman dan Australia lebih 5000 orang setiap tahun masuk Islam setelah menyedari kebebasan yang dipuja itu ternyata tidak mendatangkan kebahagiaan sejati.

Kedua-dua Islam dan Barat mendokong kebebasan, perbezaannya konsep kebebasan yang dicanangkan oleh pemikir-pemikir liberalisme memberikan kebebasan yang terlalu luas kepada manusia untuk mengikut hawa nafsunya tanpa apa-apa sekatan, sedangkan dalam Islam kebebasan terhad kepada perkara-perkara yang dibenarkan oleh Shari’ah, untuk memastikan kemaslahatan dan kebaikan manusia benar-benar tercapai.

Konsep kebebasan yang dicanangkan oleh Barat tidak semestinya satu-satunya yang betul dan patut dituruti khasnya apabila terbukti bahawa konsep kebebasan itu lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan dari sudut pandang yang holistik. Tiada manfaatnya kebebasan untuk melakukan perkara-perkara yang jelas-jelas mendatangkan keburukan kepada seseorang. Justeru konsep kebebasan yang dicanangkan oleh Islam mampu menjamin kebahagiaan sejati manusia.

Seorang Muslim perlu berhenti daripada menerima dan mengamalkan secara membuta tuli konsep-konsep Barat, dengan andaian bahawa konsep-konsep itulah yang akan membawa mereka maju dan bertamadun. Mereka seharusnya berfikir mandiri dengan kemampuan sendiri untuk melahirkan konsep dan definisi sendiri bagi konsep-konsep penting ketamadunan yang bersesuaian dengan jati diri mereka.


RUU 355 : Hasil Kajian Persepsi Dikalangan Mahasiswa Islam

Berikutan dari Usul Pindaan RUU 355 bagi tujuan menambah had hukuman bagi pesalah di bawah undang-undang Syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah yang telah dibentangkan oleh TG Hj. Hadi di Parlimen baru-baru ini, berlaku perdebatan hangat diantara pihak-pihak yang menyokong dan menentang usul tersebut.

Berbagai hujah dan alasan diberikan oleh pihak-pihak yang menentang baik dari pihak yang pro pemerintah mahupun pembangkang. Jika diperhatikan, golongan yang lantang menentang usul tersebut majoritinya terdiri dari kelompok yang mewakili kaum bukan melayu/Islam. Namun tak kurang juga ada kalangan melayu yang mengaku Islam juga turut sama menentang terutamanya golongan liberal dan menjunjung hak asasi manusia ala barat.

Tidak terkecuali juga terdapat segelintir agamawan turut mempertikaikan usaha untuk menaik taraf  perundangan Islam ini terutamanya mereka-mereka yang sememangnya diketahui agak skeptikal malah anti dengan PAS.

Namun disebalik semua itu, bagaimana pula penerimaannya dikalangan mahasiswa?

Berikut adalah hasil kajian persepsi yang telah dijalankan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia keatas mahasiswa Islam di Malaysia -